Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Pelancaran Persidangan Sekuriti Siber (CySec) Brunei ketiga merupakan mercu tanda signifikan dalam memajukan kolaborasi dan perkongsian ilmu pengetahuan di serata rantau Asia Tenggara.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian CySec 2025 ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Menteri Bertanggungjawab bagi Sekuriti Siber dalam majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, pagi tadi.

Dalam kata alu-aluannya di majlis berkenaan, Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis menyatakan bahawa CySec merupakan sebuah platform untuk menangani isu-isu dan perkara-perkara mendesak berkaitan dengan sekuriti siber, keselamatan siber dan jenayah siber yang semakin ketara.

Beliau menerangkan bahawa dalam usaha menentang penipuan dalam talian, CSB sedang memuktamadkan portal scam watch yang akan berfungsi sebagai repositori pusat untuk melaporkan insiden berkaitan penipuan, nasihat awam dan notifikasi.
Model yang berasaskan dari orang ramai atau crowd-sourcing bagi pengumpulan data penipuan yang berkaitan, jelasnya, juga akan bertindak sebagai pusat perintah bersepadu, menghubungkan dengan lancar agensi penguatkuasaan undang-undang, badan kawal selia, pembekal telekomunikasi dan CSB bagi membolehkan respons selaras dan pantas dan diselaraskan serta berkesan dalam mengesan ancaman penipuan yang berpotensi.
Majlis diteruskan dengan perasmian persidangan berkenaan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary di mana kehadirannya menggariskan komitmen berterusan kerajaan kepada kecemerlangan sekuriti siber dan kepentingan strategik inisiatif berkenaan kepada agensi transformasi digital Brunei.
Majlis turut menyaksikan beberapa pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang mana kerjasama strategik melambangkan pendekatan komprehensif kepada mengukuhkan keupayaan sekuriti siber melalui pendidikan, pemindahan teknologi dan inovasi kolaboratif.
ITPSS Sdn Bhd (ITPSS) telah merasmikan beberapa kerjasama utama bermula dengan perjanjian dengan Politeknik Brunei yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS, Azman Iskandar Ariffin dan Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Pengiran Dr Saiful bin Pengiran Haji Duraman.
Kerjasama itu bermatlamat untuk menghubungkan jurang kemahiran dalam sekuriti siber dengan menyediakan pengalaman praktikal dan amali kepada para pelajar dalam teknik pertahanan siber serta teknologi canggih.
ITPSS juga memeterai kerjasama dengan IBTE yang diwakili oleh Azman Iskandar Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pendidikan Teknikal, IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli di mana kerjasama itu termasuk inisiatif penyelidikan bersama, pertukaran fakulti dan pelajar serta pembangunan makmal sekuriti siber khusus.
Di samping itu, ITPSS juga memeterai perjanjian dengan Cybersafe BN Sdn Bhd yang diwakil oleh Azman Iskandar Ariffin dan Ketua Pegawai Ekskutif, Cybersafe, Singapura, Dave Gurbani di mana kolaborasi rentas sempadan berkenaan bermatlamat untuk memudahkan pembangunan rangka kerja pematuhan, pembangunan kapasiti dan keupayaan, pengauditan serta audit pengiktirafan.
Ia menggariskan langkah ke hadapan signifikan ke arah menjana pendekatan serantau bersepadu kepada cabaran-cabaran sekuriti siber.
Deloitte juga memeterai kerjasama dengan ITPSS dengan visi bersama untuk memajukan landskap tenaga kerja siber dalam negara dengan mengenal pasti keperluan yang muncul, jurang kemahiran dan menyediakan platform bagi keupayaan siber manusia.
MoU berkenaan mencerminkan komitmen untuk mengukuhkan keupayaan sekuriti siber, menyokong transformasi digital dan menyumbang kepada kedayatahanan siber serta perkembangan jangka panjang Brunei.
Perjanjian itu dirasmikan oleh Deloitte Brunei Country Leader, Zufariq Zara Zainuddin bersama Deloitte Brunei T&T Leader, Azmi Abdul Rahman serta Azman Iskandar Ariffin.
Semua di atas: Antara pertukaran MoU antara ITPSS dengan beberapa institusi.
Selain itu, BCSA juga memeterai dua kerjasama strategik iaitu dengan Progresif Sdn Bhd di mana diwakili oleh Presiden BCSA, Mohammad Azad Zaki bin Haji Mohd Tahur dan Naib Presiden Progresif Sdn Bhd, Mohd Fahmi bin Mahusin.
Kolaborasi strategik berkenaan memupuk komuniti sekuriti siber Brunei yang lebih kukuh dengan mengembangkan keupayaan Advanced Security Operations Centre (SOC) Progresif melalui Perisikan Ancaman Siber (CTI).
Satu lagi kerjasama penting BCSA telah ditubuhkan dengan Digital Defence Alliance Singapore (DDAS) yang diwakili oleh Mohammad Zad Zaki dan Ketua Pegawai Eksekutif Cybersafe, Singapore, Dave Gurbani selaku ahli majlis DDAS. Kolaborasi berkenaan merangkumi AI, sekuriti siber, pertukaran ilmu pengetahuan pertahanan, acara bersama dan promosi organisasi.
Semua di atas: Antara beberapa petukaran MoU yang turut diadakan.
Majlis juga menyaksikan perasmian perjanjian yang dimeterai antara Cybersafe, Singapura dan Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Negara Cybersafe, Mohammed Eisa bin Haji Mohammad dan Ketua Pegawai Digital UNN, Heiko Trost.
Kolaborasi itu bermatlamat untuk mengukuhkan kedudukan sekuriti siber UNN di Brunei melalui pembangunan keupayaan SOC, latihan tenaga kerja, penubuhan jenama dan mengembangkan tawaran perkhidmatan komersial termasuk SOC sebagai penyelesaian pematuhan dan perkhidmatan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil Singapore Cyber Essentials Certification oleh Cyber Security Agency of Singapore dan GICG yang disampaikan kepada empat individu yang mempamerkan komitmen luar biasa kepada pematuhan sekuriti siber dan amalan terbaik.


Penyampaian sijil berkenaan dihasratkan sebagai pengiktirafan kepada pencapaian masa kini dan sebagai galakan bagi kecemerlangan berterusan dalam amalan sekuriti siber.
Individu-individu yang menerima pengiktirafan berkenaan ialah Pengaran Asia Inc Forum, Theodore Ong; Country Lead, Asia Inc Forum, Pengiran Hanna binti Pengiran Hassanal; Pegawai IT Kanan, Bandtree Sdn Bhd, Zakaria bin Mohamad Nor serta Pengarah/ Konsultan Utama, Swarmnetics (B) Sdn Bhd, Izdihar bin Sulaiman.
Majlis turut menyaksikan penyampaian ucaptama oleh Ketua Eksekutif National Cyber Security Agency (NACSA) Malaysia, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin yang mana beliau menjelaskan trend keselamatan siber serantau, ancaman yang muncul dan strategi kerjasama yang boleh mengukuhkan kedudukan keselamatan siber negara Asia Tenggara.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut mengadakan lawatan ke pameran persidangan yang mengetengahkan penyelesaian keselamatan siber canggih, teknologi inovatif dan perkhidmatan daripada penyedia industri terkemuka.
Pameran itu menyediakan para peserta pengalaman praktikal dengan alat dan platform keselamatan siber terkini, memudahkan dialog bermakna antara penyedia penyelesaian serta bakal pelanggan.




