BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan orang ramai terutama sekali pengunjung dan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Jalan Kianggeh bahawa persimpangan Lampu Isyarat J5 hingga J6 menuju ke Kota Batu akan ditutup sementara dan akan dilencongkan ke jalan sebelah menghala Tasek Lama.
JKR dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa penutupan ini adalah disebabkan oleh kerja-kerja pemasangan beam konkrit di kawasan Pavo Point yang akan bermula esok, 17 Mei dari jam 11 malam hingga 5 pagi.
Sehubungan itu, JKR menasihatkan para pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya yang lain demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Para pengguna jalan raya juga diingatkan untuk memandu lebih berhati-hati di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas demi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123/Livechat 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn.