Siri Kedua
Perbezaan bilangan rakaat di antara sembahyang imam dengan sembahyang makmum tidaklah menjadi halangan untuk sembahyang berjemaah. Sebagai contoh, orang yang melakukan sembahyang qadha fardhu Asar boleh mengikut atau berimamkan orang yang melakukan sembahyang fardhu Maghrib secara tunai.
Namun dalam hal ini perlu diambil perhatian, jika jumlah bilangan rakaat di antara sembahyang imam dan makmum sama, seperti imam melakukan sembahyang Zuhur, sementara makmum pula melakukan sembahyang Asar, makmum tidak akan menghadapi masalah jumlah rakaat apabila mengikut sembahyang imam. Tetapi bagaimana jika jumlah bilangan rakaat di antara sembahyang imam dan makmum itu tidak sama, seperti makmum melakukan sembahyang Zuhur atau Asar sementara imam pula melakukan sembahyang Subuh atau Maghrib, dan bagaimana pula jika berlaku sebaliknya?
Berikut diterangkan keadaan makmum mengikut imam berdasarkan jenis sembahyang yang dilakukan makmum dan imam.
Makmum sembahyang Zuhur atau Asar, imam sembahyang Subuh atau Maghrib
Dari segi bilangan rakaat sembahyang, walaupun bilangan rakaat sembahyang Zuhur atau Asar lebih banyak berbanding bilangan rakaat sembahyang Subuh atau Maghrib, akan tetapi jika makmum bersembahyang Zuhur atau Asar sementara imam bersembahyang Subuh atau Maghrib, makmum boleh saja mengikut sembahyang imam tersebut kerana keadaan ini sama seperti keadaan orang sembahyang masbuq.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P16-1A-Freepik_04082023.jpg)
Cara makmum melakukan sembahyang Zuhur atau Asar mengikut imam sembahyang Subuh:
Dari segi bilangan rakaat, rakaat sembahyang Subuh hanyalah dua rakaat sementara rakaat sembahyang Zuhur atau Asar adalah empat rakaat. Oleh itu, setelah imam selesai melakukan sembahyang Subuh, makmum bolehlah berdiri untuk meneruskan dua rakaat yang kurang dalam sembahyang Zuhur dan Asar sebagaimana keadaan orang yang sembahyang masbuq.
Selain berbeza bilangan rakaat antara sembahyang Zuhur atau Asar dengan sembahyang Subuh, bacaan doa Qunut juga tidak ada dilakukan dalam sembahyang Zuhur dan Asar.
Maka apakah yang perlu dilakukan oleh makmum yang melakukan sembahyang Zuhur atau Asar di belakang imam yang bersembahyang Subuh apabila mendapati imam tersebut membaca doa Qunut?
Jika makmum menghadapi situasi sebegini, makmum tersebut boleh terus mengikuti imam tersebut walaupun imam itu melakukan sembahyang Subuh dan dia melakukan sembahyang Zuhur atau Asar.
Akan tetapi, apabila imam itu membaca doa Qunut, makmum tersebut boleh memilih sama ada menunggu imamnya selesai membaca doa Qunut tersebut dan seterusnya melakukan sujud bersama imam sepertimana dilakukan oleh orang bersembahyang masbuq ataupun makmum tersebut berniat mufaraqah ketika imam membaca doa Qunut dan terus saja melakukan sujud untuk menyelesaikan sembahyang Zuhur atau Asar secara bersendirian. Namun menunggu imam sehingga selesai membaca doa Qunut adalah lebih afdhal daripada melakukan mufaraqah. Perkara ini disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj yang ertinya:
“Tidaklah membatalkan (sembahyang Zuhur atau Asar yang makmum lakukan jika) mengikut imam membaca doa Qunut dalam sembahyang Subuh atau (mengikut imam) melakukan duduk Tahiyyat Akhir dalam sembahyang Maghrib sepertimana dilakukan oleh orang yang bersembahyang masbuq, dan makmum juga boleh tidak mengikutnya (iaitu imam) dengan niat mufaraqah (apabila imam sedang membaca) doa Qunut dan Tahiyyat Akhir untuk melakukan urutan tatacara sembahyangnya. Namun mengikut imam (membaca doa Qunut dan Tahiyyat Akhir) adalah lebih afdhal daripada berniat mufaraqah”.
Cara makmum sembahyang Zuhur atau Asar mengikut imam sembahyang Maghrib:
Makmum juga boleh mengikut imam yang melakukan sembahyang Maghrib walaupun dia melakukan sembahyang Zuhur atau Asar. Namun disebabkan sembahyang Maghrib hanya tiga rakaat sementara sembahyang Zuhur atau Asar pula empat rakaat, ketika imam membaca Tahiyyat Akhir dalam rakaat ketiga sembahyang Maghrib apakah yang perlu dilakukan oleh makmum?
Makmum yang bersembahyang Zuhur atau Asar mengikut imam yang bersembahyang Maghrib, apabila tiba masanya imam melakukan Tahiyyat Akhir makmum boleh memilih sama ada menunggu imamnya itu selesai membaca Tahiyyat Akhir dan memberi salam.
Kemudian baharulah makmum itu berdiri untuk menambah rakaat keempat sembahyang Zuhur atau Asar yang belum selesai sepertimana dilakukan oleh orang bersembahyang masbuq, ataupun makmum tersebut berniat mufaraqah tanpa mengikut imam melakukan Tahiyyat Akhir sembahyang Maghrib itu dan terus sahaja berdiri meneruskan rakaat keempat sembahyang Zuhur atau Asar yang dilakukannya itu secara bersendirian.
Namun menunggu imam sehingga selesai membaca Tahiyyat Akhir dan memberi salam adalah lebih afdhal daripada melakukan mufaraqah sebagaimana disebutkan nashnya sebelum ini.
Makmum Sembahyang Subuh Atau Maghrib, Imam Sembahyang Zuhur Atau Asar
Keadaan makmum melakukan sembahyang Zuhur atau Asar dengan mengikut imam yang melakukan sembahyang Subuh atau Maghrib telahpun diterangkan sebelum ini.
Namun bagaimana pula jika berlaku sebaliknya, iaitu makmum melakukan sembahyang Subuh atau Maghrib dengan mengikut imam yang melakukan sembahyang Zuhur atau Asar?
Cara makmum sembahyang Subuh mengikut imam sembahyang Zuhur atau Asar:
Walaupun bilangan rakaat sembahyang Subuh dan Zuhur atau Asar adalah tidak sama, namun makmum yang bersembahyang Subuh juga boleh mengikut imam yang bersembahyang Zuhur atau Asar. Begitulah juga dengan sembahyang-sembahyang lain yang mempunyai rakaat kurang daripada rakaat sembahyang yang dilakukan imam seperti sembahyang Maghrib atau sembahyang-sembahyang sunat.
Dalam keadaan ini, apa yang perlu dilakukan oleh makmum ialah jika imam berdiri pada rakaat ketiga untuk meneruskan rakaat keempat sembahyang Zuhur atau Asar, dia boleh berniat mufaraqah dan menyelesaikan sembahyang Subuhnya sehingga memberi salam.
Selain itu, makmum tersebut boleh juga menunggu imamnya yang bersembahyang Zuhur atau Asar itu selesai melakukan rakaat ketiga dan keempat. Setelah imam selesai memberi salam barulah dia memberi salam.
Dalam dua keadaan ini, jika tidak ditakuti waktu sembahyang akan luput, maka menunggu imam untuk memberi salam adalah lebih afdhal sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj.
Sementara itu, pada rakaat kedua makmum tersebut boleh membaca doa Qunut jika sempat, ataupun makmum tersebut boleh meninggalkan bacaan doa Qunut itu jika tidak sempat membacanya dan tidak perlu melakukan sujud sahwi.
Namun jika makmum tersebut ingin membaca doa Qunut itu juga, dia boleh berniat mufaraqah dan membaca doa Qunut, seterusnya menyelesaikan sembahyang Subuhnya secara bersendirian. Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Mughni al-Muhtaj yang ertinya:
“Jika seseorang itu bersembahyang Subuh di belakang orang yang bersembahyang selain Subuh, dan sempat membaca doa Qunut dalam rakaat kedua ketika imam berdiri dalam waktu yang singkat, maka membaca doa Qunut adalah disunatkan untuk meraih pahala sunat membacanya selagi tidak tertinggal oleh imam, melainkan (jika tidak sempat), maka jika orang itu tidak sempat membaca doa Qunut, maka tidaklah perlu membacanya kerana ditakuti tertinggal oleh imam. Dan orang itu juga tidak perlu melakukan sujud sahwi (jika dia tidak membaca doa Qunut) itu kerana imam menanggung kekurangan itu baginya. Begitu juga, orang itu boleh berniat mufaraqah untuk membaca doa Qunut bagi meraih pahala sunat”.
Cara makmum sembahyang Maghrib mengikut imam sembahyang Zuhur atau Asar:
Jika makmum bersembahyang Maghrib mengikut imam yang melakukan sembahyang Zuhur atau Asar, apabila imam tersebut berdiri bagi meneruskan rakaat keempat sembahyang Zuhur atau Asar, makmum tidak perlu menunggu imam tersebut. Malahan dia hendaklah berniat mufaraqah dan melakukan Tahiyyat Akhir secara bersendirian.
Perkara ini juga ada disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala yang ertinya:
“Adapun jika seseorang itu bersembahyang Maghrib di belakang sembahyang yang empat rakaat (seperti Zuhur atau Asar) ketika imam berdiri pada rakaat keempat, maka janganlah dia menunggu imamnya itu menurut pendapat yang ashah”.