Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persoalan memakai minyak wangi

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Pada dasarnya lelaki memakai minyak wangi adalah sunat, tidak demikian halnya terhadap perempuan, bahkan ada kalanya memakai minyak wangi itu haram. Persoalan inilah yang hendak kita huraikan.

    Hukum memakai minyak wangi

    Hukum asal memakai wangian termasuklah minyak wangi adalah sunat (digalakkan). Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi, antaranya yang diriwayatkan dari ‘A’isyah r.a., beliau berkata yang maksudnya:

    “Aku memberi (memakaikan) Nabi sebaik-baik wangian yang (Baginda) ada sehingga aku melihat wangian itu cerah/jernih (berkilau/berkilat) di kepala dan janggut Baginda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Hadis di atas menunjukkan bahawa memakai wangian adalah sunnah Baginda.Adapun yang dimaksudkan dengan memakai wangian ialah mengenakan wangian seperti minyak wangi pada badan atau pakaian mengikut cara kebiasaannya sama ada dilakukan dengan sendiri ataupun dilakukan oleh orang lain dengan keizinannya.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Nabi melarang umatnya dari menolak pemberian yang berupa wangian. Sabda Baginda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang ditawarkan wangian, maka janganlah dia menolaknya, kerana sesungguhnya ia adalah beban yang ringan (ringan dibawa) dan enak baunya.” (Hadis riwayat Muslim)

    Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati memakai minyak wangi kerana terdapat banyak minyak wangi yang mengandungi alkohol dijual di pasaran.

    Haram memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak kerana ia adalah najis. Sebaliknya harus memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol sintetik dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis. – Agensi

    Memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol

    Haram memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak sama ada di luar sembahyang, apatah lagi di dalam sembahyang, kerana arak itu adalah najis. Ibnu Hajar Rahimahullah Ta‘ala berkata bahawa haram hukumnya berlumur dengan najis di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tidak ada sebarang keperluan (syar‘i).

    Sebaliknya harus memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol sintetik dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis. Bagaimanapun, haram jika wangian itu diminum kerana sifatnya yang memudharatkan seperti juga racun.

    Selain hukum haram memakai minyak wangi yang mengandungi bahan najis, hukum memakai minyak wangi atau wangian lain juga berbeza mengikut keadaan dan ketentuan yang digariskan syarak. Antaranya sebagaimana berikut:

    1. Memakai wangian bagi lelaki dan perempuan

    Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Nabi bersabda yang maksudnya:

    “Wangian lelaki adalah apa yang nyata baunya dan tersembunyi warnanya, (manakala) wangian perempuan itu pula adalah yang nyata warnanya dan tersembunyi baunya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Menurut hadis di atas, ‘ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan memakai wangian yang tersembunyi baunya itu adalah bagi perempuan yang hendak keluar rumah. Sekiranya mereka tidak berhajat untuk keluar rumah, maka harus bagi mereka memakai wangian yang mereka mahu walaupun wangian itu yang nyata baunya.

    Adapun wangian yang nyata baunya dan tersembunyi warnanya itu adalah seperti air mawar, misk (kasturi) dan ambar. Sementara wangian yang nyata warnanya dan tersembunyi baunya pula adalah seperti za‘faran, khaluq dan inai.

    2. Memakai wangian ketika sembahyang

    Memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi wangian ketika menunaikan sembahyang tidaklah dilarang tetapi hendaklah dipastikan bahawa ianya suci daripada najis, kerana antara syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian mahupun tempat sembahyang.

    Tidak sah sembahyang seseorang jika salah satu daripada yang tersebut di atas terkena najis seperti minyak wangi yang bercampur dengan alkohol yang dihasilkan daripada arak. Ini kerana arak di sisi syara‘ adalah najis. Walau bagaimanapun, sah sembahyang seseorang jika dia memakai minyak wangi yang suci dan bebas daripada bahan-bahan najis.

    3. Memakai wangian sebelum menunaikan sembahyang Jum‘at

    Sunat bagi lelaki memakai wangian ketika hendak menunaikan sembahyang Jum‘at. Diriwayatkan dari Salman al-Farisi r.a., Nabi bersabda yang maksudnya:

    “Tidaklah mandi seorang lelaki itu pada hari Jum‘at, membersihkan diri semampunya, meminyakkan rambut dari minyaknya, memakai wangian (yang ada) di rumahnya, lalu dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), kemudian dia mendirikan sembahyang yang ditentukan ke atasnya dan sesudah itu duduk diam tatkala imam memberi khutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jum‘at tersebut sehinggalah Jum‘at yang akan datang. (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Yang dimaksudkan dengan sembahyang yang ditentukan itu ialah sembahyang sunat rawatib qabliyyah Jum‘at, atau sembahyang-sembahyang sunat yang lain sekurang-kurangnya dua raka‘at sembahyang tahiyyatul masjid jika imam belum memulakan khutbah, ataupun juga sembahyang qadha’.

    Adapun bagi khuntsa dan perempuan, makruh ke atas mereka memakai minyak wangi apabila keluar rumah untuk menunaikan sembahyang Jum‘at.

    Akan tetapi sunat bagi mereka sekadar menghilangkan bau yang tidak enak seperti bau keringat. Ini kerana menghilangkan bau yang tidak enak sama ada dengan air atau selainnya juga merupakan perkara yang disunatkan apabila hendak menunaikan sembahyang Jum‘at.

    4. Memakai wangian sebelum menunaikan sembahyang Hari Raya

    Sunat bagi lelaki memakai sebaik-baik wangian sebelum keluar menunaikan sembahyang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Bahkan memakai wangian sebelum sembahyang Hari Raya adalah lebih utama dan afdhal. Memakai wangian bukan sahaja disunatkan bagi orang yang hendak sembahyang Hari Raya sahaja, malah orang yang tidak menunaikan sembahyang Hari Raya juga dituntut untuk memakai wangian pada hari tersebut.

    Menurut ulama mazhab Syafi‘i, makruh ke atas perempuan cantik menghadiri sembahyang Hari Raya di masjid dan sunat ke atas yang selainnya seperti perempuan yang sudah berumur hadir ke masjid asalkan dengan izin suami, tidak berhias dengan berlebih-lebihan, tidak berwangi-wangian dan memadai menggunakan air untuk menghilangkan bau yang tidak enak.

    Walau bagaimanapun, perempuan disunatkan memakai wangian pada Hari Raya jika mereka tidak keluar rumah. Ketetapan hukum bagi khuntsa dalam perkara ini juga sama seperti ketetapan hukum bagi perempuan.

    5. Memakai wangian ketika puasa

    Ulama mazhab Syafi‘i mengatakan bahawa menahan diri dari keinginan untuk bersenang-senang seperti menghidu wangian ketika sedang berpuasa adalah sunat.

    6. Memakai wangian ketika i‘tikaf

    Harus memakai wangian ketika melakukan i‘tikaf di masjid sama ada pada siang atau malam hari sebagaimana pendapat jumhur fuqaha’.

    7. Memakai wangian ketika dalam ihram

    Haram bagi lelaki ataupun perempuan yang sedang dalam ihram memakai wangian pada pakaian ataupun badan. Jika seseorang yang dalam ihram itu memakai wangian, maka diwajibkan ke atasnya fidyah.

    Sebaliknya, disunatkan untuk memakai wangian pada pakaian ataupun badan sebelum berniat ihram bagi lelaki, khuntsa ataupun perempuan sama ada perempuan yang muda atau tua, bujang atau berkahwin.

    Jika orang yang sedang dalam ihram itu memakai wangian kerana terlupa atau jahil akan hukum haram memakai wangian itu, ataupun dia dipaksa untuk memakainya, maka tidak diwajibkan fidyah ke atasnya.

    Menghidu wangian ketika ihram adalah makruh. Berbeza halnya jika dia tidak bertujuan sedemikian seumpama melintas di hadapan kedai penjual minyak wangi, maka hukumnya tidak makruh.

    8. Memakai wangian ketika ihdad

    Ihdad ialah perbuatan meninggalkan setiap yang dimaksudkan dengan perhiasan atau dipanggil juga berkabung. Ihdad diwajibkan ke atas perempuan yang kematian suami.Dalam tempoh ihdad, seorang perempuan itu diharamkan untuk memakai wangian sama ada pada badan, pakaian, makanan dan celak. Diriwayatkan dari Ummu ‘Athiyyah r.a. yang maksudnya:

    “Daripada Nabi, telah berkata Ummu ‘Athiyyah, “Sesungguhnya kami dilarang untuk berkabung melebihi tiga hari ke atas mayat orang lain, melainkan ke atas mayat suami selama empat bulan sepuluh hari. Kami tidak (boleh) memakai celak, wangi-wangian dan pakaian yang bercelup (dengan warna-warna terang atau berwarna-warni)…” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Walau bagaimanapun, perempuan dalam ihdad diharuskan memakai sedikit sahaja wangian daripada qusth dan azhfar (jenis wangian yang diasapkan seperti kemenyan) apabila hendak bersuci daripada haid dan nifas, iaitu dengan tujuan untuk menghilangkan bau, bukan untuk tujuan berwangi-wangian.

    Bagi perempuan yang di dalam tempoh ‘iddah thalaq ba’in dan ‘iddah thalaq raj‘i, mereka juga disunatkan untuk meninggalkan perhiasan termasuk berwangi-wangian.

    Ini adalah bertujuan untuk mengelak dari berlakunya perkara-perkara yang tidak baik seperti fitnah dan seumpamanya.

    9. Memakai wangian selepas mandi wajib dari haid dan nifas

    Disunatkan ke atas perempuan haid dan nifas selain yang dalam ihram ataupun ihdad membubuh wangian (kesturi) pada kapas dan mengusapnya pada tempat yang biasa terkena darah selesai mandi wajib.

    Diriwayatkan dari ‘A’isyah r.a., beliau berkata bahawa telah datang kepada Nabi seorang perempuan bertanya bagaimana caranya mandi dari haid, lalu Sayyidatina ‘A’isyah mengajarkan cara mandi kepada perempuan itu dengan mengambil kapas yang dibubuh misk untuk digunakan bersuci dan mengusap kapas tersebut pada tempat yang lazimnya terkena darah (faraj).

    Adapun jika tidak ada misk, bolehlah digunakan benda yang memiliki haba seperti qusth dan azhfar. Jika tidak ada, boleh digunakan wangian lain, atau jika tidak ada wangian boleh digunakan tanah liat dan jika tidak ada, memadailah dengan air. Berdasarkan keterangan di atas, jelas hukum memakai wangian termasuklah minyak wangi di dalam Islam adalah berbeza mengikut keadaan dan ketentuan.

    Perlu diingat terutama bagi golongan perempuan, berlebih-lebihan dalam berhias seperti memakai wangian dengan tujuan untuk mempamerkan kecantikan diri atau menarik perhatian selain suami adalah termasuk dalam tabarruj. Tabarruj di sisi syarak adalah haram.

    Oleh kerana itu, adalah lebih baik perkara demikian ini diambil perhatian agar segala perbuatan kita khususnya yang berkaitan dengan ibadat tidak menjadi sia-sia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda