Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persoalan mengupah orang lain dalam perkara ibadat

    Disediakan oleh Jabatan Mufti kerajaan

    PENDAHULUAN

    Islam tidak melarang penganutnya untuk meminta khidmat orang lain bagi membuat sesuatu kerja bagi manfaat atau kepentingan dirinya dengan dibayar upah kepada orang tersebut, asalkan kerja-kerja tersebut termasuk dalam lingkungan perkara-perkara yang diharuskan oleh syara‘. Umpamanya mengupah seseorang untuk membersihkan halaman rumah, menghantar barang ke satu tempat, merawat penyakit dan sebagainya.

    Upah atau di dalam istilah fiqh dipanggil sebagai ujrah, ialah ganjaran yang diberikan kepada seseorang sebagai imbalan terhadap sesuatu kerja yang telah dilakukannya.

    Apabila seseorang meminta khidmat kepada seorang yang lain dengan dibayar upah sebagai imbalan kepada khidmat yang telah diberikan, perbuatan meminta khidmat disertai dengan bayaran upah itu dipanggil sebagai isti’jar.

    Di dalam al-Qur’an al-Karim, Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    “Seorang daripada mereka berkata: “Wahai bapaku! Ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik orang yang bapa ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”
    (Surah al-Qashash: 26)

    Hubungan kerja di antara orang yang mengupah (musta’jir) dengan orang yang diupah (ajir) dalam konteks ini adalah diikat melalui satu kontrak atau akad yang dipanggil kontrak ijarah. Oleh sebab itu, sebelum orang yang diupah membuat kerja apa yang diminta oleh yang mengupah, persetujuan bersama perlu dicapai iaitu orang yang diupah bersetuju untuk dibayar dengan jumlah yang tertentu, dan di pihak yang mengupah pula bersetuju dengan bentuk khidmat yang akan dibuat oleh orang yang diupah. Apabila persetujuan bersama dicapai maka termeterailah satu kontrak ijarah.

    Gambar Freepik

    Contoh kontrak ijarah dalam konteks ini:

    – Orang yang mengupah berkata: “Saya minta khidmat tuan untuk membersihkan halaman rumah saya dengan upah bayaran sebanyak $50”.

    – Orang yang diupah berkata: “Saya setuju.”

    Itu perihal mengupah orang lain dalam perkara yang diharuskan syara‘. Bagaimana pula dengan perihal mengupah orang lain dalam perkara ibadat, sama ada ibadat fardhu ‘ain, ibadat sunat ataupun fardhu kifayah?

    Sebagai contoh:

    – (A) berkata kepada (B): “Saya minta khidmat tuan untuk menghajikan bapa saya yang meninggal dunia dengan upah bayaran sebanyak $2,000”.

    – (B) berkata kepada (A): “Saya setuju.”

    PARAMETER SYARA’ DALAM ISTI’JAR

    Sebelum dihuraikan jawapan bagi persoalan di atas elok disebutkan di sini mengenai satu parameter syara‘ yang membatasi perkara tersebut.

    asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala menyebutkan parameter berkenaan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj yang ertinya:

    “Setiap ibadat yang perlaksanaannya dibenarkan oleh syara‘ untuk diwakilkan kepada orang lain, adalah dibenarkan juga untuk mengupahnya bagi melaksanakan ibadat tersebut.

    Sebaliknya setiap ibadat yang perlaksanaannya tidak dibenarkan oleh syara‘ untuk diwakilkan kepada orang lain, adalah tidak dibenarkan juga untuk mengupahnya bagi melaksanakan ibadat tersebut.”

    MENGUPAH ORANG LAIN UNTUK MELAKSANAKAN IBADAT FARDHU ‘AIN

    1. Mengupah Orang Lain Untuk Melaksanakan Ibadat Sembahyang

    Ibadat sembahyang sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat merupakan ibadat badaniyyah (ibadat yang mesti dilaksanakan dengan tubuh badan semata-mata) yang tidak boleh diwakilkan kepada orang lain untuk melaksanakannya.

    Oleh itu, tidak sah bagi seseorang meminta khidmat orang lain untuk melaksanakan ibadat sembahyangnya, ataupun seseorang tampil menawarkan diri sendiri untuk melaksanakan ibadat sembahyang orang lain dengan dibayar imbalan upah.

    Ini kerana tujuan ibadah badaniyyah disyariatkan adalah sebagai ujian atau dugaan kepada yang empunya badan yang mesti dilaksanakan dengan usaha dirinya dan perkara itu tidak akan terhasil jika dilaksanakan oleh orang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda