Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Persoalan mengupah orang lain dalam perkara ibadat

    Manakala bagi orang yang sudah meninggal dunia, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala bahawa pendapat yang shahih dan terpilih dalam perkara ini ialah sunat bagi wali si mati untuk melaksanakan qadha’ puasa bagi pihak si mati.

    Ketetapan hukum ini adalah berdasarkan beberapa hadits yang shahih, antaranya
    hadits riwayat Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:

    “Sesungguhnya seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata: “Sesungguhnya emak saya telah meninggal dunia dan dia mempunyai qadha puasa sebulan.”

    Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apa pendapat awak jika sekiranya dia mempunyai hutang, adakah awak akan melunaskannya?” Perempuan tersebut berkata:

    “Ya.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka, hutang kepada Allah adalah lebih berhak lagi untuk dilunaskan”.
    (Hadits riwayat Muslim)

    Gambar Freepik

    Selain wali, qadha’ puasa si mati boleh juga dilaksanakan oleh orang lain (orang asing) jika ada keizinan daripada pihak wali si mati.

    Oleh itu, sah hukumnya jika sekiranya wali si mati meminta khidmat orang lain untuk melaksanakan qadha’ puasa si mati dengan dibayar upah.

    MENGUPAH ORANG LAIN UNTUK MELAKSANAKAN IBADAT ZAKAT

    Ibadat zakat termasuk dalam kategori ibadat maliyyah (ibadat yang berkaitan
    harta). Seseorang yang hendak mengeluarkan zakat boleh dia mengeluarkan (menyerahkan) sendiri zakatnya itu kepada pihak yang berhak menerimanya ataupun berwakil kepada orang lain untuk menyerahkannya kepada yang berhak menerimanya.

    Jika dia memilih untuk melantik wakil bagi mengeluarkan (menyerahkan) zakatnya, adalah harus jika dia mahu membayar upah kepada wakil yang dilantik itu sebagai imbalan atas tugas yang dilaksanakan oleh wakil tersebut.

    MENGUPAH ORANG LAIN UNTUK MELAKSANAKAN IBADAT HAJI

    Ibadat fardhu haji merupakan ibadat yang memerlukan tenaga dan harta untuk menunaikannya. Sebab itu ia dikatakan sebagai ibadat badaniyyah (badan) dan maliyyah (harta). Ibadat ini juga tidak boleh diwakilkan kepada orang lain untuk mengerjakannya jika seseorang itu berkuasa atau mempunyai keupayaan untuk melakukannya sendiri.

    Namun jika dia tidak berupaya untuk melaksanakan sendiri ibadat tersebut disebabkan faktor tubuh badan yang sudah uzur dan sebagainya, tetapi mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya jika diwakilkan kepada orang lain, maka perlaksanaannya boleh diwakilkan kepada orang lain.

    Ini adalah berdasarkan sebuah hadits shahih daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau menceritakan bahawa semasa Haji Wida‘ seorang wanita daripada Khats‘am bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kefardhuan Allah ke atas hambaNya dalam ibadat haji telah mendapati ayahku yang sudah tua yang tidak dapat duduk tetap di atas kenderaan, apakah aku boleh menghajikannya?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab dengan bersabda: “Ya.”
    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Bahkan orang seperti ini jika dia mempunyai harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain bagi melaksanakan ibadat fardhu haji bagi dirinya hukumnya adalah wajib ke atasnya untuk mengupah orang tersebut.

    Ini kerana apa yang dikatakan sebagai “mampu” itu adakalanya mampu dengan melaksanakannya sendiri, adakalanya pula mampu dengan menggunakan harta, dan orang seperti ini adalah dikategorikan sebagai orang yang mampu melaksanakannya dengan harta iaitu dengan mengupah orang lain.

    Begitu juga halnya bagi orang yang mampu dan berupaya melaksanakan sendiri ibadat tersebut tetapi meninggal dunia sebelum sempat menunaikannya, wajib ke atas ahli waris untuk melaksanakan ibadat haji bagi si mati dengan perbelanjaan yang diambil daripada harta peninggalannya.

    Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa seorang wanita daripada Juhainah pernah datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu bertanya yang maksudnya:

    “Sesungguhnya emak saya telah bernazar untuk menunaikan haji tetapi belum sempat menunaikannya sehinggalah dia meninggal dunia, adakah aku boleh menghajikannya?”

    Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, engkau hajikanlah untuk dia. Apa pendapat awak jika sekiranya dia mempunyai hutang, adakah awak akan melunaskannya?Lunaskanlah (hak) Allah, maka (hak) Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”
    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Ahli waris boleh menghajikan sendiri bagi pihak si mati ataupun meminta khidmat orang lain dengan dibayar upah untuk menghajikannya.

    Apabila ahli waris telah sempurna melaksanakan ibadat haji bagi si mati, sama ada mereka lakukannya sendiri atau mengupahkannya kepada orang lain, maka tertunailah tuntutan ibadat haji fardhu ke atas si mati.

    Akan tetapi jika si mati tidak meninggalkan harta, tidak wajib ke atas ahli waris untuk melaksanakan ibadat haji yang tertanggung ke atas si mati.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...