Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persoalan Mengupah Orang Lain Dalam Perkara Ibadat

    Sambungan dari minggu lepas

    Siri Kedua

    MENGUPAH ORANG LAIN UNTUK MENYEMBELIH BINATANG KORBAN

    Salah satu amalan sunat yang boleh diwakilkan kepada orang lain untuk melaksanakannya ialah amalan menyembelih binatang korban.

    Malahan harus juga untuk memberi upah kepada wakil tersebut sebagai imbalan atas kerjanya menyembelih binatang korban dan mengagih-agihkan daging binatang tersebut kepada yang berhak.

    Namun perlu diingat, upah tersebut tidak boleh diambil daripada sembelihan bintang korban tersebut. Ini kerana tidak harus hukumnya memberi kepada penyembelih bina-
    tang korban sesuatu daripada sembelihan binatang korban seperti daging, kulit atau sebagainya sebagai upah atau imbalan atas kerja penyembelihan yang dilakukannya.

    Akan tetapi jika diberikan kepadanya sebagai sedekah jika penyembelih itu miskin atau sebagai hadiah jika dia bukan orang miskin (bukan sebagai upah), hukumnya adalah harus.

    MENGUPAH ORANG LAIN UNTUK MENGURUSKAN JENAZAH

    Apabila seorang Islam meninggal dunia adalah menjadi fardhu kifayah bagi orang-orang Islam yang hidup untuk menguruskan jenazahnya dengan sempurna dan selayak-nya.

     

    Gambar Freepik

    Apabila disebut sebagai fardhu kifayah, maknanya tanggungjawab pengurusan jenazah tersebut tidak akan terlepas ke atas orang-orang Islam sehinggalah ada sebahagian mereka tampil untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut.

    Persoalannya, di samping pengurusan jenazah ini dikategorikan sebagai fardhu kifayah, bolehkah pengurusan jenazah ini diupahkan kepada seseorang atau satu kumpulan untuk menyempurnakannya?

    Sebagaimana yang sudah biasa diketahui bahawa pengurusan jenazah adalah merangkumi memandikannya, mengkafannya, menyembahyangkannya, menghantarnya ke tanah perkuburan dan menguburnya. Sebahagian urusan tersebut mempunyai hukum yang berbeza dengan sebahagian yang lain.

    Dalam perkara menyembahyangkan jenazah, para ulama telah menyatakan bahawa urusan menyembahyangkan jenazah tidak boleh diminta orang lain untuk melakukannya dengan dibayar upah. Kedudukan hukumnya sama seperti sembahyang fardhu lima waktu.

    Manakala dalam perkara memandikan, mengkafan, menghantar ke tanah perkuburan dan mengubur jenazah pula, adalah sah hukumnya mengupah orang lain untuk melaksanakannya. Ini adalah diqiyaskan kepada amil yang diberi bayaran atas kerjanya mengutip zakat.

    Bayaran yang diberikan kepada amil itu adalah dikira sebagai upah sebagaimana mengikut pendapat al-ashah (yang lebih shahih). Oleh itu, sebagaimana amil pengutip zakat harus mengambil upah atas kerjanya mengutip zakat, maka begitu juga bagi orang yang menguruskan jenazah (selain menyembahyangkan jenazah) harus bagi mereka mengambil upah atas kerja menguruskan jenazah.

    KESIMPULAN

    Apa yang dapat dibuat kesimpulan daripada penjelasan hukum berkaitan mengupah orang lain dalam perkara ibadat, bahawa keharusan mengupah orang lain dalam hal ini adalah tertakluk kepada ruang-ruang yang dibenarkan oleh syara‘ untuk seseorang mewakilkan perlaksanaan ibadatnya kepada orang lain.

    Jika dibenarkan oleh syara‘ untuk diwakilkan, maka dibenarkan juga untuk dia mengupah orang lain bagi melaksanakannya. Jika tidak dibenarkan oleh syara‘, maka tidak dibenarkan juga dia mengupah orang lain untuk melaksanakannya.

    Daripada beberapa jumlah jenis ibadat yang dibenarkan oleh syara‘ untuk mengupah orang lain bagi melaksanakannya sebagaimana yang telah dijelaskan dalam perbincangan ini, tidak semestinya ibadat-ibadat tersebut adalah ibadat yang berkaitan dengan harta.

    Bahkan sebilangannya adalah yang berkaitan dengan ibadat badaniyyah (ibadat yang mesti dilaksanakan dengan tubuh badan semata-mata).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda