(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Menjawab azan pada dasarnya disunatkan ke atas setiap muslim yang mendengarnya.
Ini dengan cara melafazkan kalimah-kalimah yang dilaungkan oleh muazzin melainkan pada kalimah hai‘alah (Hayya ‘ala as-solah dan Hayya ‘ala al-falah) hendaklah dijawab dengan melafazkan kalimah hawqalah (Laa Haulawalaa Quwwata illa Billaah), ertinya: “Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah”. Begitu juga pada kalimah tatswib (Ash-Shalatu khairum minan naum) ketika azan subuh hendaklah dijawab dengan melafazkan (Sho daq-ta wa ba-rar-ta), ertinya: “Benarlah engkau dan jadilah engkau mempunyai kebajikan yang banyak”.
Menjawab azan afdhal dilakukan sejurus sahaja setiap kalimah-kalimah azan itu selesai dilaungkan. Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu diam sepanjang azan dilaungkan, lalu setelah semua kalimah-kalimah azan itu selesai dilaungkan barulah dia menjawab ke-semua kalimah-kalimah azan itu sekaligus maka orang itu masih mendapat pahala menjawabnya. Ini dengan syarat jawapannya itu tidak lama jaraknya dengan waktu azan itu selesai dilaungkan.
Hukum sunat menjawab azan ini disyariatkan ke atas setiap muslim yang mendengarnya, tidak kira sama ada orang yang mendengar azan itu dalam keadaan suci mahupun dalam keadaan berhadas, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar seperti orang yang dalam keadaan junub, haid dan nifas kerana ia adalah zikir dan bukanlah ayat-ayat al-Qur’an.
Pensyariatan menjawab azan ini hanya dikhususkan kepada orang yang mendengarnya sahaja. Oleh kerana itu, orang yang tidak mendengarnya sama ada kerana jarak yang jauh, pekak dan sebagainya tidak disunatkan untuk menjawabnya walaupun pada ketika itu dia melihat muazzin sedang melaungkan azan dan walaupun dia tahu bahawa ketika itu azan sedang dilaungkan.

Walau bagaimanapun, hukum sunat menjawab azan bagi orang yang mendengarnya ini tidaklah bersifat mutlak. Dalam keadaan-keadaan tertentu, adakalanya menjawab azan itu boleh menjadi makruh bahkan ada kalanya menjadi haram.
Hukum menjawab azan dalam sembahyang, tawaf dan ketika mendengar khutbah
Ketika seseorang mengerjakan sembahyang, makruh hukumnya dia menjawab azan tidak kira sama ada sembahyang yang dikerjakan itu adalah sembahyang fardhu ataupun sunat.
Bagaimanapun, hukum makruh ini hanya khusus bagi kalimah-kalimah yang berbentuk zikir sahaja. Adapun kalimah hai‘alah, kalimah tatswib serta jawapan tatswib jika dilafazkan dalam sembahyang, ia bukan lagi makruh, bahkan haram dan boleh membatalkan sembahyang jika dia senghaja melakukannya dan mengetahui akan keharamannya. Ini kerana kalimah-kalimah hai‘alah, tatswib serta jawapan tatswib itu termasuk dalam kategori kalimah-kalimah biasa dan bukan daripada kategori kalimah-kalimah zikir.
Jika orang tersebut melafazkan kalimah-kalimah hai‘alah, tatswib serta jawapan tatswib dalam sembahyang kerana jahil, tidak senghaja, terlupa dan sebagainya, maka ini tidak membatalkan sembahyang, akan tetapi sunat atasnya mengerjakan sujud sahwi.
Manakala jawapan bagi kalimah-kalimah azan yang lain termasuk jawapan bagi hai‘alah iaitu hawqalah pula termasuk dalam kategori zikir. Jadi, kalimah-kalimah ini makruh dilafazkan ketika sembahyang dan tidak haram serta tidak pula menjejaskan sembahyang. Ini kerana melafazkan zikir dalam sembahyang menurut ulama tidak membatalkan sembahyang.
Perlu diketahui juga bahawa jika dia menjawab azan dalam sembahyang ketika dia sedang membaca surah al-Fatihah, ini akan memutuskan muwalah (bacaan secara berturut-turut) yang dituntut dalam bacaan surah al-Fatihah itu dan akan membatalkan bacaan surah al-Fatihah tersebut. Apabila ini berlaku, maka wajib bagi orang tersebut mengulangi semula bacaan surah al-Fatihahnya dari awal.
Manakala jika seseorang mendengar azan ketika mengerjakan tawaf pula maka hukum menjawabnya adalah sunat. Jadi orang yang sedang mengerjakan tawaf sunat bagi-nya menjawab azan pada masa itu juga dan tidak perlu melewatkan jawapannya sehingga tawafnya selesai kerana ketika mengerjakan tawaf kita tidak dilarang daripada berkata-kata.
Adapun bagi orang yang sedang mendengar khutbah pula, maka makruh baginya menjawab azan pada ketika itu, bahkan sunat melewatkan untuk menjawabnya sehingga selesai khutbah jika jaraknya masih belum lama. Jika jaraknya sudah lama, maka tidak lagi disunatkan untuk menjawabnya.
Hukum menjawab azan ketika bersetubuh dan qadha hajat
Tidak disunatkan bahkan makruh menjawab azan ketika sedang bersetubuh atau qadha hajat (buang air kecil atau besar). Akan tetapi sunat melewatkan untuk menjawabnya sehingga selesai mengerjakan dua perkara tersebut jika tidak lama jaraknya. Jika jaraknya sudah lama, maka tidak disunatkan untuk menjawabnya.
Hukum menjawab azan bagi orang yang terdapat najis pada tubuh badannya
Orang yang terdapat najis pada tubuh badannya sunat menjawab azan pada ketika itu juga sekiranya najis itu bukan pada mulutnya. Sekiranya najis itu berada pada mulutnya, maka makruh baginya menjawab azan pada ketika itu, bahkan sunat melewatkan untuk menjawabnya sehingga dia sudah membersihkan mulutnya daripada najis tersebut sekiranya tidak lama jaraknya.
Hukum menjawab azan yang berbilang-bilang
Adapun jika dia terdengar azan yang dilaungkan oleh beberapa orang muazzin seperti dia terdengar azan di kampungnya kemudian dia terdengar lagi azan di kampung yang lain, maka sunat dia menjawab kedua-duanya.
Berlainan halnya jika azan itu dikumandangkan secara serentak, maka memadai menjawabnya dengan sekali jawab sahaja.
Jika dua azan yang didengarnya itu dilaungkan dalam satu masa yang sama akan tetapi tidak serentak lafaznya, maka sunat dijawab dengan sekali jawab sahaja bagi kedua-dua azan itu. Ini dengan cara menunggu kedua-dua azan tersebut selesai melaungkan suatu kalimah terlebih dahulu, kemudian setelah dia merasa bahawa suatu kalimah itu, contohnya kalimah (Hayya ‘ala al-falah) sudah selesai dilaungkan oleh kedua-dua muazzin, barulah dia menjawabnya dengan membaca hawqalah (Laa Haulawalaa Quwwata illa Billaah). Begitulah juga halnya dengan kalimah-kalimah yang lain.
Bagi orang yang mengerjakan sembahyang sesudah mendengar azan, kemudian setelah selesai mengerjakan sembahyang dia terdengar lagi azan yang lain, maka sunat juga baginya untuk menjawab azan yang kedua itu.
Mendengar azan ketika sedang membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu atau berdoa
Jika seseorang itu mendengar azan ketika dia sedang membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu atau berdoa, sunat dia berhenti seketika dari mengerjakan perkara-perkara tersebut untuk menjawab azan.
Jadi apa yang perlu diambil perhatian serta pengajaran di sini, jika ketika sedang mengerjakan perkara-perkara mulia dan berbentuk ibadah seperti membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan berdoa itu pun disunatkan untuk berhenti seketika bagi menjawab dan menghormati azan, maka apatah lagi jika mendengarnya ketika sedang mengerjakan perkara-perkara lain seperti bersukan, berbual-bual kosong dan seumpamanya selagi mana dengan berhenti seketika untuk menjawab dan menghormati azan itu tidak mendatangkan apa-apa kemudharatan atau kesulitan.
Hukum menjawab azan di televisyen dan radio
Dalam perkara ini, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Rahimahullah telah memfatwakan bahawa sekiranya azan itu disiarkan secara langsung melalui radio atau televisyen, maka sunat bagi orang yang mendengarnya untuk menjawabnya.
Mengenai azan yang berbentuk rakaman pula, beliau berkata: “Adapun jika azan bilal itu dirakamkan dengan tape recorder umpamanya, kemudian disiarkan rakaman itu melalui televisyen pada awal waktu sembahyang fardhu kerana menunjukkan masuk waktu sembahyang, maka tiadalah sunat dijawab atau berkata seperti kata rakaman itu, kerana syarat sunat menjawab azan itu ialah apabila yang membuat azan itu orang mukallaf yakni mumayyiz, dan rakaman yang menyiarkan azan itu sesuatu benda jumad (tidak bernyawa) yang tiada mempunyai perasaan dan tiada mempunyai tamyiiz, hanya rakaman itu mengikut arahan orang yang mengendalikan rakaman itu”.
Jelasnya di sini, azan yang kita dengar dari siaran radio dan televisyen yang disiarkan sebagai petanda masuk waktu sembahyang yang hanya berbentuk rakaman tidak sunat dijawab. Manakala azan yang kita dengar dari siaran radio dan televisyen yang disiarkan secara langsung, iaitu azan itu dilaungkan pada masa itu juga oleh seorang lelaki muslim yang mukallaf lagi mumayyiz dari masjid atau sebagainya, maka azan tersebut sunat dijawab.
Demikian beberapa penjelasan mengenai bila dianjurkan menjawab azan dan bila ia dilarang. Selain menunaikan tuntutan menjawab azan, apa yang perlu juga disemai dalam diri ialah rasa hormat terhadap azan itu. Azan merupakan salah satu daripada syi‘ar-syi‘ar Islam, jadi amat wajarlah ia dimuliakan selayaknya.
Imam asy-Sya‘rani Rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya al-‘Uhud al-Muhammadiyah sepertimana yang dinaqalkan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah dalam kitab I‘anah ath-Thalibin, bahawa para salaf ash-shalih apabila mendengar azan, mereka akan diam untuk menjawab azan dengan penuh kekhusyukan serta perasaan gerun terhadap keagungan dan kehebatan Allah. Mereka tidak sekali-kali melalaikan diri daripada mendengar dan menghayatinya dengan percakapan, perbuatan serta segala yang sia-sia. Akhlak dan amalan seumpama ini perlu kita hidupkan dan suburkan ia supaya ia menjadi pakaian kepada diri kita.