Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persoalan sembahyang berjemaah bagi orang musafir

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    BERMUSAFIR dikategorikan sebagai situasi yang pada kebiasaannya mengandungi pelbagai kesusahan dan kesulitan.

    Perihal kesusahan atau kesulitan itu tetap ada, tergantung sejauh mana jarak perjalanan dan tujuan safar seseorang itu. Umpamanya melancong tidak sama dengan menunaikan ibadat haji dari sudut kesusahan dan kesulitan yang ditempoh.

    Oleh itu Allah Subhanahu Wa Ta‘ala telah meringankan bagi orang-orang yang bermusafir dalam banyak perkara yang melibatkan hukum-hukum agamanya, di antaranya ialah sembahyang.

    Keringanan bagi orang musafir

    Allah SWT telah memberikan dua bentuk keringanan dalam sembahyang kepada orang yang bermusafir.

    Pertama: Mengurangkan bilangan sembahyang yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Ia dinamakan dengan qasar, sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa yang tafsirnya:

    “Dan jika kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’  (memendekkan) sembahyang.” (Surah An-Nisaa: Ayat 101)

    Kedua: Menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dan ditunaikan dalam satu waktu, supaya orang yang bermusafir mendapat kekosongan waktu yang seluas-luasnya. Ia dinamakan dengan sembahyang jamak iaitu menghimpunkan antara dua sembahyang. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa dia berkata yang maksudnya:

    “Rasullullah Sallalahu ‘alaihi Wasallam menghimpunkan antara sembahyang Zohor dan Asar dan juga antara Maghrib dan Isyak ketika musafir.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    Sembahyang berjemaah bagi orang musafir

    Orang yang musafir adalah diharuskan untuk melakukan sembahyang berjemaah dengan orang yang bermukim.

    Bagi orang yang bermukim, adalah harus baginya dan tidak menjadi masaalah jika dia menjadi makmum kepada orang musafir sekalipun orang musafir itu melakukan sembahyangnya dengan mengqasarkannya.

    Walau bagaimanapun orang yang bermukim itu hendaklah menyempurnakan sembahyangnya setelah imamnya yang menunaikan sembahyangnya secara qasar itu selesai memberi salam.

    Sementara itu, disunatkan ke atas imam yang musafir itu memberitahu jamaahnya yang terdiri daripada orang yang bermukim dengan berkata: “Kamu sempurnakanlah sembahyang kamu, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bermusafir.”

    1) Permasalahan sembahyang qasar dalam sembahyang berjemaah

    Berlainan pula halnya jika orang musafir yang mengqasarkan sembahyangnya menjadi makmum kepada orang yang bermukim atau orang musafir yang tidak mengqasarkan sembahyangnya.

    Para ulama telah menjelaskan, di antara syarat mengerjakan sembahyang dengan qasar itu hendaklah orang yang bermusafir itu tidak menjadi makmum kepada orang yang bermukim atau orang musafir yang tidak mengqasarkan sembahyangnya iaitu mengerjakannya dengan bilangan rakaat yang sempurna.

    Jadi, jika hal sebegini berlaku maka wajib ke atas orang musafir yang menjadi makmum itu mengerjakan sembahyangnya dengan bilangan rakaat yang sempurna sebagaimana yang dilakukan oleh imam sembahyang jemaah berkenaan.

    Dia tidak diharuskan untuk mengqasar sembahyangnya sekalipun bilangan rakaat sembahyang yang dikerjakan oleh imam itu hanya dua rakaat seperti sembahyang fardhu Subuh, sembahyang Jumaat, dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain kerana sembahyang-sembahyang tersebut merupakan sembahyang-sembahyang yang sempurna bilangan rakaatnya.

    Begitulah juga jika orang yang musafir itu menyangka imam itu seorang musafir, tetapi ternyata imam itu seorang yang mukim dan mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna (tidak mengqasar), maka orang yang musafir itu juga hendaklah menyempurnakan sembahyangnya sepertimana sembahyang imam.

    Orang yang musafir itu juga hendaklah mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna jika merasa ragu sama ada imam yang diikutinya itu seorang musafir atau mukim dan tidak dapat dipastikan akan kedudukannya.

    Manakala jika orang musafir itu menjadi makmum kepada imam yang mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna, kemudian batal sembahyangnya ataupun sembahyang imam maka hendaklah orang yang musafir itu mengulang sembahyangnya dengan bilangan rakaat yang sempurna juga.

    Manakah yang lebih afdhal sembahyang qasar atau jemaah?

    Walaupun orang musafir itu diberi keringanan hukum dengan mengqasar sembahyangnya ketika dalam pelayaran, akan tetapi jika dia ada pilihan untuk bersembahyang di belakang imam yang bermukim atau bermusafir yang tidak mengqasarkan sembahyangnya, maka adalah lebih utama dia mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna secara berjemaah daripada dia mengqasarkan sembahyangnya dan mengerjakan secara bersendirian.

    Ini adalah berdasarkan perkataan Imam Ibnu Hajar Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitabnya Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fiqhiyah yang mana beliau telah membandingkan hukum sembahyang berjemaah dengan sembahyang qasar, dan beliau berkata sembahyang berjemaah itu fardu kifayah dan sembahyang qasar itu sunat. Fardu kifayah itu lebih utama daripada sunat.

    Apatah lagi sembahyang jemaah itu mempunyai kelebihan daripada sembahyang bersendirian. Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya, “Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darajat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    Masalah niat bagi orang musafir dan mukim

    Dari segi niat sembahyang orang yang musafir, jika dia berniat qasar dengan mengikut imam yang mengerjakan sembahyang sempurna hukumnya adalah sah, akan tetapi niat qasarnya tidak dikira dan dia mesti menyempurnakan sembahyangnya sebagaimana sembahyang imam.

    2) Permasalahan sembahyang jamak dalam sembahyang jemaah

    Dalam masalah sembahyang jamak pula, orang yang musafir harus menjamak sembahyangnya walaupun dia telah sembahyang berjemaah dengan menjadi makmum kepada orang yang bermukim pada sembahyangnya yang pertama.

    Setelah dia selesai mengerjakan sembahyang yang pertama itu, dia hendaklah terus melakukan sembahyang yang kedua (yang dijamaknya).

    Orang musafir tersebut boleh mengerjakan sembahyang kedua itu dengan bilangan rakaat yang sempurna ataupun dengan qasar, sebagaimana yang disebutkan oleh Asy-Syeikh Ibrahim Al-Baijuri Rahimahullahu Ta‘ala bahawa sembahyang jamak boleh dikerjakan sama ada dengan mengerjakan kedua-dua sembahyang itu secara sempurna ataupun keduanya diqasar atau salah satunya sempurna dan salah satunya lagi diqasar.

    Sebagai kesimpulan, sembahyang secara berjemaah itu boleh dilakukan di antara orang musafir dan orang yang bermukim begitulah juga sebaliknya dengan mengikut aturan-aturan yang telah dijelaskan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda