Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Personaliti di sebalik warna pakaian

    MENURUT pakar penggayaan dan juga penulis buku ‘Colour Your Style‘ iaitu David Zyla, pasti akan ada satu warna kegemaran yang sering kali dipilih oleh anda untuk digayakan.

    Tidak kiralah walaupun almari anda dipenuhi dengan pakaian yang berwarna-warni, pasti hanya satu warna akan menjadi pilihan utama anda kerana ia membuatkan anda berasa lebih selesa dan yakin untuk memakainya.

    Tetapi David juga mengatakan bahawa pemilihan warna tertentu ini turut menggambarkan karakter si pemakai. Di sini dikongsikan maksud di sebalik pemilihan warna:

    1. Hitam

    Bagi pakar fesyen Karen Haller, hitam adalah warna yang dipandang serius. Malah, penyelidikan dalam bidang psikologi turut membuktikan bahawa warna hitam sering dianggap sebagai lambang prestij, kuasa dan kebijaksanaan.

    Mereka yang cenderung untuk memilih pakaian berwarna hitam ini adalah seorang yang bercita-cita tinggi, mempunyai matlamat hidup dan juga seorang yang agak sensitif. Mereka juga seorang yang emosional tetapi cenderung untuk menyembunyikannya.

    2. Perang

    Warna perang acap kali dianggap sebagai warna tanah yang mempunyai ciri-ciri kekuatan dan kestabilan. Bagi anda yang gemar memakai pakaian dengan warna ini, anda adalah seorang yang konservatif, menghormati orang tua dan sukakan keamanan serta mencari kekuatan. Pandangan orang lain terhadap anda yang suka memakai warna perang adalah anda seorang yang boleh diharap, bijak dan rasional.

    3. Biru

    Pakar psikologi dan juga wartawan, Lisa Johnson Mandell berkata, “Biru adalah warna terbaik untuk menghadiri temuduga kerana ia memberikan gambaran keyakinan dan kebolehpercayaan. Oleh itu, kebanyakan pakaian untuk bekerja adalah berwarna biru.” Para saintis di Universiti British Columbia telah menjalankan satu penyelidikan tentang pengaruh warna dan hasil kajian menunjukkan bahawa warna biru yang lebih gelap mempunyai kesan penenang. Warna biru ini juga sering kali dipilih oleh individu pemalu, sopan dan baik hati.

    4. Hijau

    Saintis di Universiti Amsterdam mendakwa warna hijau bukan sahaja dapat memberikan perasaan baik kepada si pemakai tetapi juga orang di sekeliling.

    Warna hijau yang berkait rapat dengan alam semula jadi akan memberikan perasaan tenang dan puas. Individu yang gemar menggayakan warna hijau selalunya seorang yang aktif, mempunyai keadaan kewangan yang stabil, penyayang, baik serta lembut hati.

    5. Ungu

    Pada zaman dahulu, warna ini melambangkan kerabat diraja dan golongan kelas atasan kerana ia merujuk kepada kekayaan, kemewahan dan kecanggihan. Cleopatra (pemerintah firaun kerajaan Mesir purba) merupakan antara individu yang terlalu gilakan warna ungu.

    Hari ini, ungu adalah satu warna yang mencerminkan kreativiti, keceriaan dan kecintaan terhadap seni. Pakar turut menyatakan bahawa individu yang menggemari warna ungu adalah mereka yang kuat emosi, sensitif, kuat berangan serta sukakan perkara mistik.

    Selain itu, sikap mereka yang sukar dijangka menyebabkan urusan bersama penggemar pakaian berwarna ungu ini adakalanya menjadi mudah dan adakalanya menjadi sulit.

    6. Merah

    “Merah adalah warna yang melambangkan semangat dan kuasa. Anda patut gunakan warna ini jika anda mahu memujuk atau mengagumkan seseorang,” kata Kenny Frimpong, pengurus jenama pakaian lelaki dari Itali, Eredi Pisano. Sesiapa yang memakai warna merah pasti akan menarik perhatian ramai orang. Pakar psikologi dari Universiti Rochester turut mendapati lelaki lebih mudah tertarik dengan wanita yang memakai pakaian berwarna merah delima. Bagi lelaki, merah adalah warna perangsang.

    7. Kuning

    Kuning merupakan warna yang melambangkan kegembiraan, cahaya matahari dan juga gelak tawa. Kajian menunjukkan warna ini mampu meningkatkan penghasilan serotonin di dalam otak, meningkatkan kadar metabolisme sekali gus merangsang mood baik dalam diri seseorang.

    Tambahan pula, memandangkan kuning adalah warna yang boleh menarik perhatian, ia seringkali digunakan pada papan iklan, papan tanda di jalan raya dan juga garisan di atas jalan. Mereka yang gemar memakai warna kuning adalah seorang yang aktif, kreatif dan sukakan pengembaraan.

    8. Putih

    Seperti kita ketahui, warna putih adalah simbol kesucian, kebebasan dan kesederhanaan. Oleh itu, ramai individu cenderung untuk membeli sesuatu yang berwarna putih apabila mereka ingin memulakan bab baru dalam kehidupan mereka. Warna putih menggambarkan individu yang sentiasa berfikiran positif dalam hidup, teratur, sukakan permulaan baharu dan sentiasa ingin mencapai kesempurnaan.

    9. Merah jambu

    Kaum wanita cenderung untuk sukakan warna merah jambu yang lebih lembut kerana ia mencerminkan gaya feminin. Merah jambu lembut juga dianggap sebagai bahan penenang yang paling kuat. Disebabkan itu, sesetengah penjara akan mewarna dinding dengan warna merah jambu bagi mengurangkan sikap agresif dalam kalangan banduan. Pakar psikologi berpendapat, individu yang menggemari warna ini adalah seorang yang romantik, bersikap positif, suka menghargai kebaikan dan keselesaan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda