Sunday, January 26, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertahan buah mahjong ukiran tangan

    HONG KONG – Menumpukan perhatian secara berhati-hati ketika mengukir imej dan aksara Cina pada buah mahjong, Cheung Shun-king, 70, merupakan salah seorang tukang pengukir terakhir di Hong Kong.

    Buah mahjong ukiran tangan itu pernah menjadi sumber pendapatan bagi kebanyakan orang, tetapi pengenalan set buatan mesin yang jauh lebih murah telah mengurangkan pelanggan mereka dan menjadikan kerja mereka sukar didapati.

    Keluarga Cheung sahaja pernah memiliki empat kedai berasingan, di mana semasa remaja dia mempelajari perniagaannya, namun kini hanya tinggal satu.

    “Saya telah menghabiskan masa muda saya untuk membuatnya,” katanya.

    “Saya tidak tahu sama ada saya akan mempunyai tenaga untuk meneruskanyan dalam beberapa tahun, tetapi buat masa ini, saya akan terus melakukannya.” Kedai Cheung berada di jalan yang dipenuhi dengan ruang tamu mahjong, tetapi tiada seorang pun yang membeli buah mahjongnya.

    Cheung Shun-king mempamerkan set alat pertukangannya, termasuk drill, pisau ukiran, berus dan cat, yang digunakan untuk membuat buah mahjong ukiran tangan. – AFP
    Kelihatan Cheung Shun-king mengecat buah mahjong yang dibuatnya. – AFP

    “Set mahjong saya mahal,” akuinya. Satu set penuh buah mahjong ukiran tangan berharga HK$5,500 (AS$700), katanya, manakala yang diukir mesin adalah sekitar HK$2,000. Harga mencerminkan masa yang dihabiskan untuk mem-buatnya. Pengeluaran industri buah mahjong mengambil masa kira-kira sejam, tetapi Cheung mengambil masa lima hari untuk menyelesaikan proses mengukir dan mewarna buah mahjongnya.

    Ramai pelanggannya membeli set sebagai cenderahati dan sering meminta imej yang disesuaikan. Tetapi Cheung berpendapat lonjakan minat baru-baru ini terhadap tradisi lama mungkin bersifat sementara.

    “Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini orang ramai merasakan nostalgia dan datang untuk membeli buah mahjongnya,” katanya.

    “Bagaimana jika beberapa tahun kemudian tiada siapa yang merasa nostalgia?”

    Walaupun percaya industrinya akan terus merosot, Cheung berkata dia akan bekerja selagi boleh sehingga tiada permintaan.

    Dia pernah mengadakan bengkel untuk orang muda tetapi tidak mahu mengambil perantis kerana sikap pesimisnya.

    “Untuk mempelajari kemahiran ini bukan masalah satu atau dua bulan, mencubanya tidak akan berjaya jika awda tidak menceburkan diri di dalamnya selama dua hingga tiga tahun,” kata Cheung.

    “Jika, pada masa itu, buah mahjong buatan tangan tidak lagi menjadi trend, maka kemahiran ini akan menjadi sia-sia.” Cheung sendiri tidak tahu bermain mahjong, kerana minatnya hanya terletak pada pembuatan buah mahjong.

    Dia berkata bahawa dipanggil artis, adalah satu sanjungan dan ‘pujian besar’ untuknya.

    “Jika orang lain berkata ia adalah seni, maka ia adalah seni.

    “Bagi saya, ia adalah tugas saya, kerana saya perlu mencari rezeki.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda