Oleh Nurdiyanah R.
Jika tiada yang lama, tiada yang baharu, begitulah istimewanya kulinari tradisi Melayu kita yang setentunya memiliki kepelbagaian dan keunikan yang tersendiri untuk menjadi suatu warisan budaya yang seharusnya dipertahankan, diperkembang dan diperjuangkan oleh masyarakat di negara ini.
Mempertahankannya adalah menjadi tanggungjawab bersama. Ungkapan sebegitu kedengaran cukup mudah, hakikatnya bagi mengekalkan dan mempertahankan sesuatu warisan itu agar tidak dihakis oleh arus kemodenan memang sukar tanpa sebarang usaha yang gigih daripada semua pihak.
Zaman silih berganti, begitulah juga perubahan yang dapat kita lihat terhadap pelbagai kulinari masyarakat di negara ini yang semakin berkembang mengikut arus kemodenan, bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Bagaikan peluang keemasan, mengimbas kembali kenangan penulis menemui salah seorang ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B yang juga menjadi ahli Persatuan Warisan Kedayan Jerudong di kampung tersebut yang memiliki kemahiran dalam bidang masakan tradisi Melayu Kedayan sememangnya suatu yang sungguh menggembirakan penulis untuk berkongsi kepada pembaca dalam sama-sama menerokai beberapa makanan tradisi Melayu Kedayan.
Masyarakat Melayu Kedayan khususnya di Kampung Jerudong juga memiliki pelbagai hidangan tradisi yang penuh keunikan dan keistimewaan, sebagaimana makanan tradisi masyarakat Melayu jati yang lain di negara ini.
Kulinari asli masak kunyit
Antara masakan kampung yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu Kedayan ialah daging masak kunyit dan ayam tua masak kunyit. Ia menggunakan ramuan bahan-bahan alam semula jadi seperti kunyit hidup dan serai serta ramuan-ramuan asli yang lain.
Begitulah istimewanya hidangan kampung yang ditampilkan sehingga apabila kita menikmatinya pasti mampu mengimbau nostalgia detik-detik kemanisan sewaktu menikmati hidangan dalam suasana kampung halaman suatu masa lalu.
Rebung masak air bersama kulat tahun
Selain itu, masakan sayur yang dikenali dengan panggilan rebung dan kulat tahun masak air juga menjadi salah satu keunikan puak itu. Sayur rebung atau dalam bahasa Kedayan disebut abung dan juga kulat dipotong dan dihiris memanjang atau mengikut cita rasa sendiri.
Hidangan yang berkonsepkan masakan air itu bersapak udang segar diserikan lagi dengan beberapa ramuan asli menambahkan kelazatannya. Namun lebih menyelerakan apabila dipiriki dengan lada padi dan makan bersama nasi putih, pastinya kenikmatannya tidak terkata.
Kuih sumbui-sumbui unik
Selain menampilkan masakan-masakan kampung ala Kedayan, MPK berkenaan turut mengetengahkan kuih-muih tradisi seperti kelupis, lapat, dalamu dan bikang.
Salah satu kuih tradisi yang terlihat unik diketengahkan ialah kuih sumbui-sumbui.
Dikenali dengan nama sumbui-sumbui kerana kuih itu disaluti luaran dengan tumbuhan sumbui-sumbui.
Manakala bahan-bahan utamanya terdiri daripada adunan tepung beras dan pisang yang telah dikisar atau dilenyek sehingga lumat kemudian digaul rata dalam air panas serta sedikit garam dan gula.
Kemudian masukkan gabungan adunan yang sudah sebati itu ke dalam setiap tumbuhan sumbui-sumbui berupa acuan kecil. Pastikan tumbuhan itu telah dicuci sehingga bersih dan dikeringkan sehari sebelumnya dan dimasak secara kukus.
Veteran-veteran pastinya menaruh harapan kepada anak-anak muda tanah menjadi pelapis bangsa Melayu sendiri untuk sama-sama berjuang memartabatkan kulinari asli warisan Melayu dari semasa ke semasa, baik secara persendirian mahu pun perniagaan bermula dari kecil-kecilan.
Hal ini begitu penting disemai agar khazanah budaya bangsa ini akan terus diingati dan diperkenalkan serta sentiasa memenuhi cita rasa orang lama dan generasi muda di negara ini dan sekali gus dikenali di mata dunia.
Segalanya adalah tanggungjawab kita bersama untuk bersatu supaya makanan tradisi ini tidak pupus ditelan zaman.