SRINAGAR – Di sebuah bengkel sederhana yang diselubungi aroma harum kayu lama, Ghulam Mohammad Zaz, 78 tahun, asyik meneruskan kraf yang dipelihara keluarganya sejak lapan generasi pembuatan santoor Kashmir.
Dikelilingi alatan yang telah lama menjangkau usia artisan, beliau bekerja dengan teliti, setiap ketukan dan gilapan mencerminkan tradisi berabad-abad dalam menghasilkan alat muzik itu.
“Tujuh generasi sudah bekerja dan saya generasi kelapan; saya tiada jaminan sesiapa selepas saya akan meneruskan pekerjaan ini,” kata Zaz dengan nada lembut dalam bahasa Kashmir.
Dahulu, beberapa ahli keluarganya berkongsi kemahiran ini di tengah-tengah Srinagar, bandar utama Kashmir yang ditadbir India. Kini, beliau satu-satunya pembuat santoor tangan di bandar itu.
“Kalau saya suruh orang buat sesuatu, mereka tidak tahu apa perlu dilakukan atau bagaimana membuatnya,” katanya, yang menghasilkan kira-kira lapan hingga 10 instrumen setahun, dijual pada harga 50,000 rupee (AS$565) setiap satu.




“Ia bukan sekadar memilih sebatang kayu, tetapi kita perlu cari jenis kayu yang betul.”
Santoor, sejenis instrumen seakan-akan kecapi seratus tali yang dimainkan dengan penukul, telah lama menjadi identiti muzik Kashmir, memberikan wilayah majoriti Muslim itu keunikan budaya.
Wilayah Himalaya yang dipertikaikan ini telah terbahagi antara India dan Pakistan sejak mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1947. Pemberontak telah menentang pemerintahan India, menuntut kemerdekaan atau penyatuan dengan Pakistan.
Ketegangan antara New Delhi dan Islamabad kekal tinggi, dengan pertempuran pada Mei lalu mengorbankan lebih 70 orang dalam serangan peluru berpandu, dron dan artileri; pertempuran terburuk sejak 1999.
MUZIK MISTIK
Dari segi sejarah, santoor menjadi tulang belakang ‘sufiana musiqi’, tradisi muzik mistik Kashmir, dengan bunyinya yang memukau dan bergema membawa ketenangan.
“Pemain muzik dari Iran dahulu datang ke Kashmir, mereka memainkan santoor dan instrumen lain,” kata Muzaffar Bhat, profesor muzik di sebuah kolej kerajaan di Anantnag.
“Mereka menyanyi dalam bahasa Parsi… kita mengadaptasi santoor daripada mereka dan mengasimilasikannya ke dalam muzik kita.”
Alat muzik tersebut mendapat nafas baharu pada abad ke-20. Pada 1950an, pemuzik India terkenal Shivkumar Sharma, yang dilahirkan di Jammu dan Kashmir pada 1938, menggunakan santoor untuk memainkan muzik klasik.
“Disebabkan itu, ia menjadi terkenal dalam kalangan muzik klasik di seluruh India,” kata Bhat.
Tiba-tiba, santoor tidak lagi terhad kepada perhimpunan sufiana Kashmiri, tetapi telah menjadi suara yang diraikan dalam muzik klasik India.
Namun, tradisi berdepan cabaran apabila instrumen Barat dan aliran muzik global mula menenggelamkan bunyi tempatan.
“Banyak instrumen tradisional Kashmir kita diketepikan,” kata Bhat.
Bagi tukang seperti Zaz, ini bermakna semakin kurang pelanggan, semakin sedikit pelajar dan kemerosotan perlahan bagi profesion keluarga berusia berabad-abad.
Zaz menjual hasil buatannya di Kashmir, tetapi turut menerima tempahan dari Eropah dan Timur Tengah.
Namun masih timbulnya harapan. Kebangkitan semula, walaupun kecil, mula berakar-umbi.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, satu trend baharu bermula,” kata Bhat. “Anak-anak muda kita sudah mula belajar instrumen tradisional kita.” – AFP

