BEIJING, 28 MAC – Pemimpin China, Xi Jinping hari ini memberi amaran tentang ‘cabaran serius’ terhadap perdagangan global, sambil berjanji untuk membuka pintu negaranya ‘lebih luas’ kepada syarikat asing ketika Beijing berdepan dengan perang perdagangan yang semakin memuncak dengan Amerika Syarikat (AS).
Dalam pertemuan dengan eksekutif, termasuk ketua dana lindung nilai, Ray Dalio dan ketua Samsung Electronics, Lee Jae-yong di Dewan Besar Rakyat di Beijing, Xi memberi amaran bahawa ‘unilateralisme dan dasar perlindungan’ semakin meningkat.
“Multilateralisme adalah pilihan yang tidak dapat dielakkan untuk menangani kesukaran dan cabaran yang dihadapi dunia, dan globalisasi ekonomi adalah satu trend sejarah yang tidak dapat dihentikan,” kata Xi.
Kenyataannya itu merupakan kritikan tersirat terhadap tarif yang baru-baru ini dikenakan oleh Trump, yang menjejaskan prospek eksport China tahun ini selepas mencatat rekod tertinggi tahun lalu.
Beijing telah berusaha untuk menarik minat syarikat asing ketika arus perdagangan global yang mencabar mengancam pertumbuhan ekonominya yang telah pun goyah.

China juga telah meletakkan dirinya sebagai pembela tegar sistem perdagangan pelbagai hala ketika ketidakstabilan di Rumah Putih menggangu aturan antarabangsa.
Dalam pertemuan hari ini, Xi menyeru supaya peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dipertahankan, sambil berjanji bahawa China akan terus ‘memajukan liberalisasi perdagangan dan pelaburan’.
“Semua pihak harus bekerjasama untuk mengekalkan aturan ekonomi global,” katanya.
Beliau juga berjanji bahawa ‘syarikat asing di China boleh membangunkan kelebihan dan keupayaan mereka serta memperoleh kelebihan dalam persaingan global.’
Eksport secara tradisinya merupakan pemacu utama pertumbuhan bagi kuasa besar perkilangan itu, namun ketegangan perdagangan dan geopolitik yang semakin meningkat kini mengancam sektor tersebut.
Syarikat asing di China sekian lama mengadu tentang persekitaran perniagaan yang tidak adil, termasuk kecurian harta intelek (IP), kekurangan ketelusan peraturan dan ketidakseimbangan persaingan dengan syarikat tempatan.
Undang-undang intipan balas yang dilaksanakan pada 2023 juga tidak banyak membantu dalam meningkatkan keyakinan pelabur asing.
Minggu ini, firma penyelidikan latar belakang dari AS, Mintz Group berkata bahawa China telah membebaskan lima pekerja tempatan yang ditahan lebih dua tahun lalu dalam tindakan keras terhadap firma perunding asing yang mempunyai hubungan multinasional.
Beijing kemudian menyatakan bahawa syarikat itu sedang disiasat atas dakwaan ‘operasi haram’, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Syarikat AS lain yang menjadi sasaran dalam tindakan keras pada 2023 termasuk Bain & Company dan Capvision. – AFP