BEIJING, 29 Mac – Sebuah kumpulan hak asasi menggesa Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern supaya membangkitkan kebimbangan tentang laporan kerajaan China menganiaya orang Islam, ketika lawatan beliau ke Beijing minggu hadapan.
Lawatan Ardern pada hari Isnin dan Selasa diadakan dua minggu selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 50 orang jemaah di dua buah masjid di New Zealand.
Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan hari ini berkata Ardern telah bercakap dengan tegas dan bersemangat dalam mempertahankan hak orang Islam selepas serangan itu dan seharusnya berbuat demikian lagi di Beijing.
Perdana Menteri mengurangkan tempoh dan skop lawatan beliau ke China dalam respons kepada serangan ke atas masjid.
Beratus-ratus ribu orang Islam China telah ditahan tanpa didakwa di kem-kem penahanan, yang mana para anggota keluarga dan bekas tahanan mengatakan mereka telah menjadi mangsa penganiayaan fizikal dan dipaksa meninggalkan agama Islam.
Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan mengatakan Ardern seharusnya terbuka menyeru para pemimpin China supaya menutup kem-kem itu, menamatkan penganiayaan dan membenarkan kebebasan, kemasukan pemerhati antarabangsa ke rantau Xinjiang yang didiami terutamanya oleh kumpulan minoriti Islam terbesar China, Uighurs. Anggota kumpulan Islam lain, termasuklah Kazakhs dan Hui juga berdepan penahanan dan bentuk penindasan lain.
Setakat ini China menolak gesaan bagi pemerhati bebas dan selepas pertama kalinya menafikan kewujudan kem-kem itu, dan kini berkata kem-kem itu adalah pusat latihan vokasional sukarela yang menyediakan kemahiran kerja untuk menghindar fahaman pelampau agama.
Meskipun negara-negara Islam masih sebahagian besarnya tidak bersuara tentang kem-kem itu dan penganiayaan lain ke atas orang Islam China, beberapa negara Eropah dan AS semakin lantang dalam kritikan mereka. – AP