Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Hidangan kuih-muih memang sinonim dengan Hari Lebaran yang selalunya disajikan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.
Sambutan Hari Raya boleh dikatakan akan menjadi kurang meriah sekiranya tidak dihidangkan dengan variasi kek yang berwarna-warni, cantik dan lazat sebagai hidangan yang dinikmati bersama keluarga dan tetamu yang datang.
Namun seiring dengan peredaran zaman, revolusi dalam penyediaan juadah kuih-muih dan biskut tradisional juga turut sama mengalami dampak perubahannya.
Malah tidak kurang juga ada hidangan yang dahulunya dihidangkan sebagai menu wajib tetapi kini semakin dilupakan disebabkan oleh adanya menu-menu terkini yang lebih mendapat tempat di hati golongan muda.
Kita sebagai pewaris bangsa Melayu yang berpegang teguh pada adab dan adat, seharusnya mengekalkan tradisi menyajikan kuih-muih tradisional agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Selain itu, tatacara pembuatannya juga sebaiknya diwariskan kepada generasi muda agar mereka dapat mengetahui cara yang betul untuk membuatnya supaya keasliannya terpelihara.
Musim perayaan ini merupakan masa yang terbaik untuk mengangkat kembali kuih-muih tradisi Melayu atau mungkin ada di kalangan anak-anak belia kita yang ingin menginovasi kuih tradisi menjadi sepertimana evolusi terhadap kek batik, kek lapis, kuih mor dan sebagainya.
Sementara itu dalam temu bual bersama Haji Sohaili, beliau mengongsikan bahawa dahulu apabila tiba musim perayaan pasti meriah dengan pelbagai juadah yang begitu menyelerakan dan unik.
Lebih menarik adalah penyediaan kuih atau biskut raya disediakan golongan ibu yang gigih membuatnya seawal bulan puasa.
Mereka akan mula membuat kuih-muih dan menyimpan dalam tin empat segi. Walaupun penyediaannya agak rumit dan mengambil masa yang lama, hasilnya boleh memenuhi satu meja.
Kini, ada beberapa jenis kuih raya yang semakin dilupakan dan jarang sekali dihidangkan ketika perayaan terutama ketika Aidilfitri.
Antara kuih-muih atau biskut, minuman dan sebagainya yang diketahui telah jarang sekali menjadi hidangan seperti gula-gula manis (agar-agar kering), puteri duyung, jit manis, bahulu, jala, mumbai, kuih cacah, ardam, maruku, biskut sarang semut dan banyak lagi.
Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang turut mengongsikan mengenai kuih-muih puak Kedayan yang sudah seakan-akan pupus di telan zaman ialah kiuh bikang, ulat-ulat, bubur baras behuar, sumboi-sumboi dan delamu.