Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertahankan permainan congkak

    Oleh Nurdiyanah R.

    Negara Brunei Darussalam sebuah negara Melayu yang pastinya memiliki khazanah warisan kebudayaan yang begitu berharga yang sememangnya menjadi mercu tanda yang mencorakkan bangsa Brunei itu sendiri.

    Dalam kita meniti arus zaman silih berganti, pelbagai kemajuan dan pembangunan dinikmati, namun memartabatkan segala warisan kebudayaan itu merupakan tanggungjawab bersama.

    Warisan budaya bangsa ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu perkara remeh-temeh sehingga boleh memudarkan kewujudannya di mata generasi muda. Sebaliknya, ia adalah perkara yang mampu mengisi jiwa anak bangsa sehingga mewujudkan satu ikatan yang merapatkan rasa kebersamaan dan menjadi citra yang menimbulkan rasa cinta dan setia kepada bangsa dan negara.

    Salah satu permainan tradisi yang masih lagi dikenali hingga ke hari ini ialah congkak. Mungkin sesetengah lapisan masyarakat sudah tidak asing lagi dengan permainan ini, namun tidak dinafikan juga terdapat juga sesetengah peringkat umur terutamanya generasi muda kurang memahami atau mungkin tidak mengetahui apa itu congkak dan bagaimana cara memainkannya.

    Menyoroti asal usul congkak

    Apabila kita mengimbas kembali tentang sejarah asal usul congkak, tidak kiralah menerusi perbualan tradisi yang pernah kita dengar atau pun baca, sememangnya permainan tradisi ini bukanlah hak mutlak masyarakat Brunei sahaja malah ia juga dimiliki oleh masyarakat Melayu di alam nini.

    Gambar fail: Papan congkak unik mempunyai lapan lubang pada kedua-dua barisan dengan hujungnya mempunyai lubang besar yang digelar gadung.

    Permainan congkak ini berasal daripada nama kulit kerang atau tekuyung yang dinamakan sebagai ‘congkak’ yang mana dijadikan sebagai ‘buah’ kepada papan congkak. Namun ada juga yang menjelaskan bahawa perkataan congkak ini berasal daripada perkataan ‘congak’ iaitu mengira dan kewujudannya seawal zaman Kesultanan Melaka.

    Asal usul congkak ini juga ada yang dinyatakan berkisar dalam sebuah cerita suatu ketika dahulu yang mana kewujudannya tercetus daripada ilham seorang nelayan yang tidak dapat turun ke laut akibat musim tengkujuh dan untuk mengisi masa lapang tersebut, beliau telah mengukir kayu yang berlubang kecil dan besar dengan bilangan tertentu. Namun begitu, apa pun mitosnya, pastinya congkak telah dikenali oleh masyarakat kita sejak dahulu lagi.

    Apa ada pada congkak?

    Dalam permainan tradisi congkak ini, ia dilengkapi dengan dua bahagian utama iaitu papan congkak dan ‘buah’ yang terdiri daripada sejenis batu-batu kecil pada lazimnya. Papan congkak biasanya diperbuat daripada kayu terpilih antaranya kayu bulian, kayu menggaris dan kayu selangan batu.

    Daripada segi fizikalnya pula, ia berbentuk menyerupai sebuah perahu kecil dan lazimnya, panjang congkak kira-kira lebih 80 sentimeter yang mana ukuran tersebut adalah mengikut bentuk rekaan saiz besar atau kecil lubang yang diukir padanya.

    Manakala di hujung kanan dan kiri congkak memiliki dua lubang besar yang disebut sebagai ‘gadung’ dan di antara lubang-lubang berkenaan dibuat pula dua barisan lubang kecil dengan bilangan tujuh atau lapan lubang bagi setiap barisan.

    Pada lubang-lubang kecil itu digunakan untuk menyimpan ‘buah’nya yang secara tradisinya juga ada yang menggunakan kulit tekuyung kecil selain batu-batu kecil atau pun guli-guli kecil mengikut arus perkembangan semasa. Bilangan buah yang diisikan dalam setiap lubang kecil itu adalah lapan biji.

    Sentuhan ukiran rekaan permainan tradisi congkak ini juga mempunyai ciri-ciri penuh keistimewaan secara tradisinya iaitu adanya seni ukiran yang melambangkan jiwa keBruneian seperti air muleh pada sekitar permukaannya.

    Persaingan dua pemain

    Kebiasaannya, permainan tradisi ini dimainkan oleh dua orang pemain dan kedua-duanya akan duduk berlawanan secara berhadapan. Sama ada lelaki atau perempuan; tua atau muda; masing-masing boleh bersaing dalam pentas pertarungan congkak.

    Secara asasnya, beberapa peraturan yang harus dipatuhi oleh para pemain sebelum memulakan permainan ialah menentukan arah yang mana jika si pemain bersetuju untuk memilih arah ke kiri, maka seluruh permainannya haruslah menghala ke kiri dan begitu juga sebaliknya bagi pihak lawan di mana dengan sendiri akan menghala permainannya ke kanan.

    Pada permulaan, permainan ini boleh dijalankan sama ada dengan memulakan secara serentak atau dengan cara ‘bercus’. Bermain secara serentak bermaksud kedua-dua pemain akan memulakan mengambil buah di mana-mana lubang kecil di barisan yang ada di hadapan mereka. Manakala permainan yang dimulakan dengan teknik ‘bercus’ pula akan memberi keutamaan kepada si pemain yang menang ‘bercus’ untuk memulakan permainan.

    Perlu diingat juga, barisan lubang kecil yang ada di hadapan setiap pemain adalah kepunyaan pemain itu sendiri dan dia tidak dibenarkan untuk memasuki barisan di sebelahnya. Dalam situasi permainan berkenaan, kedua-dua pemain akan memilih sendiri buah di lubang yang menjadi pilihan mereka dan setiap mereka berlumba-lumba untuk memenuhi ‘gadung’ masing-masing.

    Permainan akan berterusan sehingga salah seorang daripada mereka terhenti pada lubang yang kosong. Sekiranya mereka terhenti pada lubang kosong yang terletak pada barisan yang menjadi hak milik si pemain, maka si pemain berhak mengambil ‘buah’ yang berada bertentangan dengan lubang kosong tersebut dan memasukkannya ke dalam ‘gadung’nya.

    Situasi ini diistilahkan sebagai ‘utak’. Tetapi sebaliknya jika mereka terhenti pada lubang kosong pihak lawan, si pemain itu sendiri tidak berhak untuk mengambil jumlah ‘buah’ yang bertentangan dengan lubang kosong tersebut dan ia disebut sebagai ‘mati’. Seterusnya lawannya akan memulakan lagi permainan dengan memilih lubang pada barisan yang menjadi haknya dan jika permainan tersebut ‘mati’ maka pihak lawan pula akan mengambil alih permainan dan begitulah seterusnya sehingga ‘buah’ yang ada di lubang-lubang kecil itu habis atau pun hanya tinggal satu atau dua biji.

    Oleh yang demikian, bagi mencari pemenang di akhir permainan, hasil kutipan ‘buah’ yang dimiliki dalam ‘gadung’ setiap pemain itu hendaklah dimasukkan ke dalam lubang-lubang kecil di hadapan mereka seperti pada asalnya iaitu lapan biji setiap lubang kecil. Jika ‘buah’ tersebut melebihi daripada kiraan sepatutnya bermakna pemain tersebut memenangi perlawanan itu. Namun jika ‘buah’ tidak mencukupi untuk memenuhi lubang-lubang kecil miliknya itu maka dikira kalah.

    Wujudnya evolusi pada congkak

    Zaman silih berganti, arus globalisasi telah mewujudkan evolusi atau perubahan yang ketara pada congkak. Perkara ini dapat dilihat bermula daripada penggunaan material untuk pembuatan papan congkak itu sendiri. Jika dahulu berasaskan bahan kayu namun kini bahan-bahannya terdiri daripada plastik yang mana ia lebih ringan dan bersaiz lebih kecil berbanding congkak yang berasal daripada material kayu.

    Selain itu, perubahannya turut dilihat daripada segi ‘buah’ congkak itu sendiri yang lazimnya pada masa dahulu lebih menggunakan bahan-bahan alami seperti batu-batu kecil atau kulit tekuyung kecil namun kini para pemain lebih gemar menggunakan guli atau pun biji-biji kecil sejenis material plastik berbentuk bulat atau bujur kemungkinan kerana ia mudah didapati.

    Kenalilah dengan sebaik-baiknya

    Sayang seribu kali sayang jika permainan tradisi ini terus dilupakan. Dengan kata lain, apa yang penting ialah mempertahankan setiap warisan tradisi itu menjadi tanggungjawab bersama dan mengetahui cara memainkannya dengan betul.

    Alangkah indahnya jika generasi muda di negara ini mengenali kesemua permainan tradisi yang berupa khazanah warisan yang begitu berharga ini. Hal ini kerana sebagai salah satu cabang budaya yang dapat mencerminkan kehidupan, adat resam, nilai dan mentaliti sesuatu masyarakat, itulah permainan tradisi.

    Melaluinya, kita dapat mengenali dan menilai kehidupan masyarakat yang mempraktikkannya. Salah satu peranan terpenting yang dimainkan oleh permainan tradisi ialah menimbulkan rasa kesamaan yang diperlukan (sense of belonging) dan sifat bekerjasama kepada para pemainnya untuk meraih satu kemenangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda