Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertahankan warisan tradisi Melayu

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Pantun merupakan genre kesusasteraan Melayu tradisional yang berkembang di seluruh dunia khususnya di Nusantara sejak ratusan tahun lalu dan pantun juga adalah simbol artistik masyarakat Melayu Nusantara lambang kebijaksanaan berfikir.

    Perkara ini dijelaskan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil semasa menyampaikan ucapan Perasmian Pemerkasaan Pantun Nusantara ke-3, 2018 (Seminar/Bengkel/Festival Pantun MASTERA) yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di Lapangan Terbang Lama, Berakas hari ini.

    Majlis perasmian tersebut dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung sehingga 3 Mac dan perasmian dimeriahkan dengan persembahan sketsa pantun Kumpulan Putra seni.

    Beliau seterusnya menambah, pantun juga sering dijadikan sebagai alat komunikasi dan ia juga begitu sinonim dengan pemikiran dan kebudayaan masyarakat Melayu Nusantara.

    Menurutnya, beberapa tempat di alam Melayu, pantun menjadi sebahagian daripada tatacara kehidupan masyarakat di mana nilai-nilai dasar terjelma dalam peribahasa, mantera, doa, upacara peminangan dan perkahwinan, seni, lagu, naratif serta pemikiran falsafah tradisional.

    Datin Paduka Dr. Hajah Norlila bersama tetamu yang lain di majlis itu.

    “Tapi kini pantun sudah menjadi sebahagian dari warga sastera antarabangsa dan ini dapat dilihat dalam konteks negara-negara Eropah, pantun telah berkembang sejak abad ke-19 di beberapa negara di Eropah dan Amerika Utara,” jelasnya.

    Fenomena pantun telah berkembang luas dan menjadi sebahagian dari warga sastera antarabangsa, jelas Datin Paduka Dr. Hajah Norlila dan ini bukan lagi bersifat sastera tempatan yang hanya didominasi oleh Melayu Nusantara.

    Katanya lagi, “Walaupun begitu, pantun tetap milik Melayu Nusantara dan Melayu merupakan pemilik mutlak pantun dan perlunya berusaha untuk memperkukuh peradaban bangsa melalui penekanan di mana pantun adalah satu sumber tradisi yang patut dikekalkan dan dikembangkan.” Sehubungan itu, untuk melaksanakan program ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan beberapa buah buku yang memuatkan koleksi pantun tradisional dan kontemporari.

    “Salah satu usaha Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan DBP juga telah melaksanakan usaha penyelidikan dan pengumpulan pantun tempatan di samping pantun yang terdapat di Kepulauan Borneo,” tambahnya.

    Beliau seterusnya menambah, usaha MASTERA dalam memuatkan kegiatan seminar, bengkel, festival pantun dalam Program Memperkasa Pantun Nusantara ini juga adalah satu langkah yang tepat.

    Melalui program seperti ini, jelasnya, akan dapat membantu menghidupkan kembali beberapa warisan kesusasteraan tradisional yang semakin dilupakan oleh masyarakat khususnya pantun.

    Datin Paduka Dr. Hajah Norlila seterusnya menyeru untuk sama-sama menanamkan semangat menghargai seterusnya mencintai budaya warisan yang menjadi identiti kita selama ini.

    Generasi muda perlu diberikan tumpuan dalam usaha mendidik dan mengasuh mereka supaya terus mengekalkan semangat jati diri yang tinggi kerana mereka adalah pewaris negara.

    Menurutnya lagi, kita perlu menerokai kaedah yang menarik dan terkini untuk meningkatkan minat belia dalam pantun seperti penggunaan media sosial dan info komunikasi dalam menjadikan pantun relevan dengan cita rasa anak muda.

    Beliau juga berharap supaya pihak urus setia selaku jawatankuasa pelaksana bersama jawatankuasa dari perwakilan negara anggota MASTERA Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura akan terus mengadakan kegiatan yang bermanfaat ini.

    MASTERA Brunei Darussalam akan membukukan hasil peserta projek ini dengan mengumpulkan kertas kerja, koleksi pantun peserta dan pembimbing dan koleksi hasil penyelidikan pantun. “Kesemua bahan ini akan disatukan daripada hasil tiga projek yang diselenggarakan, dicetak dalam bentuk buku dan dimuat naik dalam laman sesawang MASTERA,” tambahnya.

    Antara lain tujuan projek ini adalah untuk mewujudkan rasa bangga mengenai warisan sastera budaya khususnya dalam aspek pantun yang diwarisi zaman berzaman.

    Projek seumpama ini, pantun akan dapat dipertahankan dan dilestarikan sebagai pengucapan budaya selain menghidupkan kembali warisan budaya yang terungkap dalam pantun dan memperlihatkan pantun sebagai manifestasi kehidupan bangsa Melayu/Nusantara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda