Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Dengan matlamat untuk menonjolkan pelbagai ciptaan kreatif dan inovatif golongan pelajar dan guru menerusi variasi pertandingan berkonsepkan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM) sekali gus memperkasakan Wawasan Brunei 2035, Sekolah Menengah Berakas (SMB) telah mengadakan Pameran Pertandingan STEAM SMB: Inspiring the Next Generation.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi merasmikan pameran yang berlangsung di Dewan Anggerek, SMB, hari ini, ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang yang dialu-alukan oleh Pengetua SMB, Awang Alexandar bin Bandang sekali gus mengadakan lawatan ke pameran-pameran yang diketengahkan.
Sebanyak 19 buah pameran berkonsepkan STEAM sejajar dengan usaha menjayakan matlamat-matlamat pembangunan mampan (SDG) telah diketengahkan oleh golongan pelajar SMB bersama guru pembimbing masing-masing secara keseluruhan pada acara istimewa tersebut.
Dalam ucapan alu-aluan, Awang Alexandar antara lain mengongsikan bahawa cetusan idea untuk mengadakan pameran berkenaan pada tahun ini adalah untuk memenuhi hasrat tulus rakan-rakan sejawat, pemimpin-pemimpin sekolah yang berkeinginan menyaksikan dan mengetahui lebih lanjut mengenai projek-projek STEAM yang telah ketengahkan dan dipertandingkan oleh SMB semasa Anugerah CIPTA, Anugerah BICTA, Cabaran Pencipta Muda, Energy Globe Awards, REAL Learnings, Cabaran Reka Bentuk STEM dan Inovasi dan lain-lain.
Sementara itu, Hajah Marina dalam ucapannya menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap inisiatif pameran berkenaan dan berharap ia mampu menjentik semangat sekolah-sekolah lain untuk mengorak langkah selanjutnya lebih-lebih lagi yang berkisar mengenai STEAM sekali gus menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.