Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 5Nov – Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait dengan kerjasama Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam telah mengendalikan acara Pertandingan Bot Laju Daerah Belait sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Perairan Sungai Belait hari ini.
Pertandingan tersebut merupakan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan turut dibantu pengendaliannya oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Kesihatan serta agensi dan syarikat swasta.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed. Seramai lebih 30 orang pelumba telah mendaftar untuk menyertai pertandingan tersebut termasuk penyertaan pelumba daripada negara jiran Malaysia, iaitu Sabah dan Sarawak.
Bagi acara perlumbaan pertama di sebelah pagi Kategori 30hp Tunnel Ke Bawah Terbuka Johan disandang oleh Awang Kassim Jafar. Manakala Awang Md Hasnol Pahmi bin Haji Mat Zin menjuarai 50Hp Tunnel Terbuka. Awang Kassim Jafar pula muncul juara dalam Kategori SST60 Tunnel Terbuka.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P22-bot-laju3_061117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P22-bot-laju1_061117.jpg)
Sementara itu pada perlumbaan waktu petang, Awang Kassim Jafar sekali lagi meraih gelaran juara bagi Kategori 30Hp Tunnel Ke Bawah Terbuka mengatasi Awang Mohd Khairol dan Awang Suhaili bin Haji Besar.
Awang Kassim Jafar terus mendominasi perlumbaan apabila menjuarai perlumbaan kedua di sebelah petang dalam Kategori SST60 Tunnel Ke Bawah Terbuka. Bagi Kategori 50Hp Tunnel Ke Bawah Terbuka pula telah dijuarai oleh Awang Haji Hasnol Fahmi bin Haji Mat Zin meninggalkan Mohd Suhaimi bin Mohd Bungsu dan Awang Nordin bin Haji Idris.
Pertandingan ini merupakan aktiviti yang julung kalinya diadakan di daerah ini bagi memeriahkan sambutan Jubli Emas dan sekali gus memberikan peluang kepada rakyat dan penduduk negara ini untuk menyertainya.
Ianya juga adalah sebagai memberikan kesedaran kepada masyarakat dan orang ramai akan pentingnya gaya cara hidup sihat dengan melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan riadah secara berterusan.