Gambar AFP
TOKYO – Mengunyah ratusan kepingan ayam goreng berwarna keemasan, sekumpulan pengadil telah berusaha mencari ‘karaage’ yang terbaik, masakan ayam goreng yang dikenali sebagai ‘makanan selesa Jepun’.
Sementara tumpuan global telah meningkat mengenai ayam goreng Korea dalam beberapa tahun terakhir, di Jepun, karaage adalah hidangan ayam goreng yang terbaik.
Disebut sebagai ‘kara-agay’, nama karaage merujuk kepada teknik di mana ketulan ayam, daging lain atau sayur-sayuran diperap dalam sos dan disalut dengan tepung dan kanji sebelum digoreng.
Masakan ini merupakan kegilaan negara di mana pemenang Grand Prix Karaage, pertandingan tahunan untuk mencari ketulan ayam paling istimewa di Jepun, dapat melihat penjualan mereka meningkat hingga tiga kali ganda jika masakan ayam mereka memenangi pertandingan.
Tahun ini, pengadil telah dilantik untuk menggantikan undian awam selepas adanya dakwaan taktik kotor oleh beberapa restoran dan kedai ayam yang bersaing.

Pengadil telah bertemu untuk beberapa sesi pengadilan di seluruh negara yang akan menghabiskan kira-kira satu kilogram ayam setiap hari.
Ketua pengadil, Koichiro Yagi, yang juga penyandang jawatan Pengarah Urusan Persatuan Karaage Jepun, memberitahu AFP dia sedang mencari ayam goreng yang ‘menceritakan satu kisah.’
“Ada rasa asal, kemudian rasa kedua, seterusnya kesan selepas itu,” katanya, memakai baju tradisional Jepun yang memaparkan slogan ’karaage mengubah dunia’.
“Rasa asal menarik awda kepada aroma dan rasa, tetapi nikmat sebenar karaage adalah perjalanan yang dibawakan kepada awda,” katanya.
Bandar Nakatsu, di pulau selatan Kyushu, mempunyai reputasi sebagai pengeluar karaage terbaik di Jepun, dan kedai-kedainya telah memenangi beberapa hadiah di Grand Prix Karaage.
Namun persaingan dari seluruh negara adalah amat sengit, dan beberapa tukang masak melakukan pelbagai usaha untuk memberikan diri mereka kelebihan.
“Terdapat banyak kedai ayam di Nakatsu dan kami pergi ke sana dan mencuba setiap satu,” kata Takehiro Matsumoto, dengan jenamanya di Tokyo telah memenangi anugerah Grand Prix Karaage selama tiga tahun berturut-turut.
“Bukan hanya Nakatsu, tapi jika ada tempat yang orang katakan sedap, kami pergi ke sana dan mengkaji semuanya untuk mencari yang terbaik.”
Pertandingan ini, kini pada tahun ke-14, menawarkan hadiah dalam kategori-kategori seperti perisa sos kicap atau garam dan mengagihkan anugerah di antara Jepun timur dan barat.
Pemenang keseluruhan diumumkan dalam setiap kategori, dengan beberapa anugerah ‘emas’ yang lebih kecil juga diberikan.
Sehingga tahun ini, pemenang ditentukan oleh undian awam, dan terdapat cerita-cerita tentang kedai-kedai mencipta alamat emel secara besar-besaran untuk memanipulasi sistem.
Kazuhiko Nakano yang telah memenangi anugerah emas dalam pelbagai kategori, mengatakan beliau gembira bahawa pertandingan tahun ini diputuskan oleh cita rasa para pengadil.
“Sebelum ini, orang akan mengundi tanpa mencuba rasanya,” kata Nakano, menambah bahawa firma beliau melihat peningkatan jualan karaage sebanyak 80 peratus selepas memenangi anugerah pertama mereka pada tahun 2020.
Para pengadil sebahagian besar terdiri daripada individu yang terlibat dalam industri makanan yang berkaitan dengan karaage, dan merasa kira-kira 25 penyertaan setiap hari.
Setiap peserta diberi lima minit untuk mempersembahkan produk mereka, sementara pengadil mengunyah nanas selepas merasa ayam untuk membantu pencernaan.
“Saya telah makan karaage hampir setiap hari selama lebih daripada 10 tahun, saya telah makan di 3,300 tempat karaage yang berlainan,” kata pengadil Iku Arino, yang menganggap dirinya sebagai pempengaruh karaage.
“Saya tidak pernah bosan memakannya.”
Selepas berbincang, para juri berkumpul semula untuk mengumumkan pemenang pada satu majlis di Tokyo minggu ini. Tatsuya Oyama, pemilik kedai ‘Karaage-ya Oshu Iwai’ di Tokyo, telah memenangi anugerah di kawasan Timur Jepun untuk rasa kicap terbaik, dan mengatakan anugerahnya “lebih bermakna” berbanding dengan dua anugerah sebelumnya kerana ia telah dipilih oleh pakar.
Ketua pengadil, Yagi, berkata sistem baharu itu telah mencatat kejayaan namun mengenyangkan, dan berjanji akan mengurangkan sajian di pinggan juri pada edisi tahun hadapan.
Namun, sementara juara boleh memberi tumpuan untuk menukar status mereka yang memenangi anugerah kepada keuntungan, Yagi berkata tidak ada apa yang disebut sebagai karaage yang sempurna.
“Ia berubah bergantung pada situasi di mana awda memakannya,” katanya.
“Ia juga bergantung pada siapa yang awda makan bersama dan cara awda memakannya.” – AFP