Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Dalam usaha memupuk minat kalangan murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid agar celik Al-Quran dan menjadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian yang berterusan, seramai 35 peserta telah menyertai Pertandingan Menghafaz Surah-Surah Pilihan, Pertandingan Azan Subuh dan Aktiviti Mewarna bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam yang berlangsung di masjid berkenaan, baru-baru ini.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na’im melalui Penyelia Bahagian Pendidikan dan Penyelia Hal Ehwal Muslimah.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Saifullah bin Haji Rosli.


Johan kategori Azan Subuh dimenangi oleh Mohd Arif Arsyad Bin Mohd Ali Rahman, manakala bagi Hafazan Surah untuk kategori Iqra 4-6 Perempuan dimenangi oleh Dayangku Nur Arisya Batrisyah Bte Pengiran Haji Md Sapiudin.
Sementara bagi Hafazan Surah bagi kategori Al-Quran Lelaki dan kategori perempuan, masing-masing dimenangi oleh Muhd Zaidan Alimi Bin Ahmad ilmi, dan Eisyatul Fareehah Hannani Binti Md Ayyub.


Antara lain tujuan pertandingan itu adalah untuk melahirkan kanak-kanak yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna, di samping mencungkil bakat murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam serta menjadikan Al-Quran sebagai teman dalam kehidupan.
Selain itu, ia juga di hasrat menarik minat lebih ramai kanak-kanak untuk mengikuti apa jua aktiviti yang dijalankan di masjid-masjid khususnya Kelas Al-Quran dan Muqaddam yang secara tidak langsung menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum.

