Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan cipta logo sempena Hari Kebangsaan ke-37

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah membukakan penyertaan bagi Pertandingan Mencipta Logo Hari Kebangsaan ke-37 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, tahun 2021.

    Syarat-syarat am pertandingan adalah logo hendaklah mengandungi elemen-elemen wajib iaitu tarikh sambutan iaitu 23 Februari 2021 dalam tulisan rumi, angka 37 dalam tulisan rumi dan jawi, tema ‘Menjayakan Wawasan Negara’ dalam tulisan rumi dan jawi, dengan tulisan jawi hendaklah berukuran dua kali lebih besar daripada tulisan rumi, grafik atau tanda atau simbol.

    Manakala itu, syarat-syarat teknikal termasuk logo perlu berfungsi di pelbagai media dan format, termasuk cetak dan digital.

    Logo berkenaan harus dikenali dalam ukuran yang sangat kecil (misalnya ikon Instagram) tetapi juga berfungsi dengan baik pada beg tote, kemeja T atau sepanduk luar yang besar, grafik mesti dapat digunakan dengan atau tanpa unsur tipografi.

    Di samping itu, logo harus disesuaikan untuk format yang bervariasi, termasuk bulatan, persegi, segi empat tepat landskap dan segi empat tepat potret serta hendaklah dapat disesuaikan dengan format yang berbeza ini, sambil menggunakan gambar grafik yang jelas yang boleh berfungsi di semua media.

    Antara syarat-syarat am pertandingan adalah logo hendaklah mengandungi elemen-elemen wajib seperti angka 37 dalam tulisan rumi dan jawi.

    Syarat-syarat khusus pula, logo hendaklah menepati tema sambutan dan huraiannya iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’, hendaklah melambangkan wawasan dan hasrat negara dalam Mencapai Wawasan Brunei 2035, menanai kedaulatan negara sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, siap siaga mencapai hasrat Brunei maju dan membawa segenap lapisan masyarakat maju ke hadapan.

    Semua logo penyertaan dan pemenang adalah menjadi hak milik Urus Setia Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan pihak penganjur berhak mengubahsuai dan menambah logo serta huraian yang menang atas persetujuan peserta berkenaan (jika diperlukan) dan keputusan yang diumumkan nanti adalah muktamad.

    Semasa pengadilan, penyertaan akan dibaca dan dinilai tanpa nama, oleh itu tidak dibenarkan meletakkan nama, umur, alamat, e-mel, nombor telefon atau maklumat pengenalan diri di mana-mana halaman pada logo.

    Peserta dikehendaki untuk menamakan setiap fail (PDF/PNG/JPG) logo mereka sebagai contoh IC Peserta-LogoWarna-1 dan IC Peserta-LogoHitamPutih-1 dan seterusnya jika memuat naik logo penyertaan yang kedua dan seterusnya, IC Peserta-LogoWarna-2 dan IC Peserta-LogoHitamPutih-2 dengan contoh 01012345-LogoWarna-1.png. Ciptaan logo hendaklah dihantar tidak lewat 20 Januari 2020 dengan hanya melalui borang dan memuat naik logo dalam talian menerusi http://bit.ly/LogoHK37.

    Pemenang pertandingan akan dihubungi melalui telefon dan persuratan sebaik sahaja panel hakim selesai membuat penghakiman. Untuk maklumat lebih orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian 2382911, 2381903, 2381905 atau 2380693 sambungan 1517. Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 8359939 atau 7169440.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda