Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan cungkil bakat berzanji dan membaca rawi

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Pasukan lelaki dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong dan pasukan perempuan dari Masjid Kampung Pelambayan muncul juara kategori masing-masing dalam Pertandingan Berzanji dan Membaca Rawi bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir, Jemaah Masjid, Muslimah Masjid, Belia dan Beliawanis Masjid sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi 1445H/2023M.

    Tempat kedua bagi peserta lelaki dimenangi oleh pasukan dari Masjid Perpindahan Kampung Mata-Mata Gadong dan pasukan Masjid Kampung Kupang memenangi tempat ketiga.

    Manakala itu, bagi peserta perempuan, peserta dari Masjid Kampung Burung Pingai Ayer memenangi tempat kedua dengan pasukan dari Balai Ibadat Mukim Saba di tempat ketiga.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, itu ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis juga diselajurkan dengan pelancaran buku bertajuk Majmu’ Qasidah, Dikir Syarafil Anam dan Maulidul Berzanji yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Haji Abdul Rajid menyampaikan hadiah kepada pasukan lelaki dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong selaku juara bagi kategori lelaki semasa pertandingan berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Haji Abdul Rajid bergambar bersama pasukan perempuan dari Masjid Kampung Pelambayan selaku juara bagi kategori perempuan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sebanyak 16 pasukan terdiri daripada tiga pasukan lelaki dan 13 pasukan perempuan telah menyertai pertandingan tersebut yang diungkayahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

    Menurut kenyataan yang diberikan, pertandingan juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta dari keempat-empat daerah.

    Di samping mencungkil bakat dan mengetengahkan kebolehan peserta melalui seni budaya berzanji dan membaca rawi, acara juga dihasratkan untuk mempertingkatkan mutu persembahan berzanji dan membaca rawi dengan lagu-lagu Arab yang masyhur dan menepati kehendak makhraj dan sifat huruf yang terdapat dalam buku berzanji.

    Selain itu, ia juga diadakan untuk menarik minat orang ramai menyertai pertandingan yang bermanfaat ke arah kegiatan memakmurkan masjid dan juga diharap dapat memberikan bimbingan dan pendedahan serta peluang para peserta untuk mempelajari teknik atau kaedah berzanji yang betul agar mampu mempersembahkan dengan baik dan sempurna sekali gus menambahkan keyakinan kepada para peserta khasnya

    dalam mengikuti pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak masjid.

    Berzanji atau membaca rawi adalah salah satu acara yang sering dimuatkan bagi mengisi majlis seperti sambutan Maulidur Rasul, majlis berbedak, majlis kesyukuran dan seumpamanya.

    Ia sangat sinonim dengan majlis berdikir yang mana kedua-duanya mengandungi selawat dan syair memuji keagungan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Berzanji dan membaca rawi juga menjadi sebahagian warisan budaya orang Brunei sejak dahulu lagi.

    Namun di akhir-akhir ini, ia sudah sangat kurang diamalkan. Salah satu langkah meneruskan budaya ini ialah dengan mengadakan bengkel dan pertandingan berzanji atau membaca rawi untuk menerapkan minat serta menampilkan para peserta yang berpotensi sebagai penyambung wadah bagi menghayati dan seterusnya boleh membimbing para belia remaja dan dewasa untuk meneruskan warisan seumpamanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda