Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan cungkil bakat merbut

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Dalam usaha memupuk kecintaan para merbut masjid kepada pembacaan Al-Quran, Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien buat julung kalinya telah menganjurkan Pertandingan Membaca Ayat-ayat Suci Al-Quran Secara Murattal bagi Merbut-merbut Senegara sebagai salah satu kegiatan takmir masjid tersebut.

    Seramai 20 orang peserta mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan yang terdiri daripada merbut-merbut masjid seluruh negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, pagi tadi ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang yang turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dan peserta.

    Johan disandang oleh Haji Mohammad Halidi bin Haji Juni dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, sementara itu naib johan ialah Awang Arif Billah bin Haji Mohd Safar dari Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri dan Awang Muhammad Hanif bin Haji Khamis dari Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun menduduki tempat ketiga.

    Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat dalam ucapannya selaku pengerusi antara lain mengongsikan bahawa pada 12 Jun lalu, para peserta telah menghadiri bengkel menghalusi bacaan secara murattal yang telah dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara sebagai salah satu usaha untuk memantapkan lagi bacaan mereka sebelum pertandingan pada hari ini.

    Antara tujuan pertandingan adalah bagi memantapkan mutu bacaan Al-Quran sebagai amalan harian dalam melaksanakan tugas sebagai seorang merbut di samping bagi mencungkil bakat para merbut dalam memahirkan pembacaan Al-Quran secara murattal.

    Haji Mohd Serudin menyampaikan hadiah johan kepada Haji Mohammad Halidi pada majlis yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Salah seorang peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda