Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan erat kerjasama warga emas, belia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Sebanyak 13 kumpulan beraksi dalam pertandingan rekreasi dan cabaran berpasukan, The Golden Amazing Race bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2025, yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei, Dermaga Diraja dan sekitar kawasan Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Dengan membawa tema Warga Emas Menggerakkan Tindakan Kebangsaan dan Global: Ke Arah Penuaan Berjaya dan Sinergi Antara Generasi, pertandingan itu bermatlamat untuk meningkatkan keyakinan diri warga emas, menggalakkan kerjasama serta interaksi positif antara warga emas dan golongan belia sekali gus mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta menyokong konsep penuaan aktif ke arah kehidupan yang lebih produktif dan berkualiti.

    Hadir bagi menyempurnakan pelepasan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Dr Siti Norkhalbi semasa menghadiri acara berkenaan.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari KKBS, Pengurus-pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) seluruh daerah, agensi swasta, rakan-rakan strategik dan Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh.

    Sebanyak 13 kumpulan yang dianggotai empat peserta telah menyertai pertandingan termasuk golongan warga emas, belia berumur 18 tahun hingga 35 tahun serta dua individu dari pelbagai peringkat umur.

    Sebelum pertandingan bermula, para peserta diberikan taklimat keselamatan dan menjalani sesi senaman ringan yang diketuai oleh jurulatih jasmani dari Pusat Pembangunan Belia (PBB), Sarjan Mohd Shahfizzy bin Haji Ramli, dengan lebih 100 peserta menyertai sesi pemanasan badan berkenaan.

    Atas & Bawah: Para peserta semasa menjalanai sesi pemanasan badan berkenaan.

    Cabaran itu melibatkan pelbagai aktiviti fizikal dan interaktif di lapan checkpoint antaranya cabaran ujian rasa dan bau, kuiz spontan yang merangkumi dua aktiviti iaitu menyusun enam rangkap pantun, permainan Sahibba, cabaran puzzle serta cabaran keseimbangan menggunakan bola atau cawan.

    Dr Siri Norkhalbi menyempurnakan pelepasan para peserta bagi pertandingan, The Goldern Amazing Race.

    Para jemputan turut berpeluang meninjau setiap checkpoint dan menyaksikan dengan lebih dekat semangat serta keakraban peserta dalam melaksanakan cabaran yang diberikan.

    Dalam pertandingan berkenaan, Kumpulan 6 muncul sebagai johan pertandingan dengan catatan masa 32 minit 18 saat serta membawa pulang wang tunai sebanyak $500, hadiah barang-barang elektronik bernilai $500 tajaan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

    Naib johan pertandingan disandang oleh Kumpulan 1 yang menamatkan cabaran dalam masa 33 minit 1 saat, dengan menerima wang tunai sebanyak $400, hadiah barang-barang elektronik bernilai $400 tajaan BIBD manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan 11 yang menamatkan cabaran dalam masa 33 minit 49 saat, membawa pulang wang tunai sebanyak $300, hadiah barang-barang elektronik bernilai $300 tajaan BIBD. Para pemenang turut menerima sijil penyertaan, pingat, barangan elektronik sumbangan Whatever Accessories dan baucar dari Dynamic Sports.

    Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Belia (PBB) serta disokong oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Muzium-muzium dan Pusat Sejarah Brunei.

    Selain itu, agensi-agensi swasta yang turut memberikan sokongan ialah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Progresif Sdn Bhd, Whatever Accessories, Syarikat FS Create, HuaHo Department Store Kiulap, D’Sunlit Sdn Bhd, Gardenia Food Industries, Dynamic Sports, Syarikat Modessa dan Sennet Technologies.

    Semua di atas: Antara suasana semasa pertandingan berkenaan. 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda