Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan fotografi beri kesedaran aspek cuaca, iklim

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Awang Muhamad Azlan bin Mohd Jefri dinobatkan sebagai juara Pertandingan Fotografi Cuaca Sempena Hari Kajicuaca Sedunia anjuran Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang dan juga penyampaian sijil-sijil kepada para juri ialah Pemangku Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim.

    Turut hadir ialah ketua eksekutif, pengarah-pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai-pegawai dan MTIC, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.

    Selaku juara Awang Muhamad Azlan memenangi hadiah wang tunai $500 serta sijil, manakala tempat kedua dimenangi oleh Awang Norsah bin Haji Kassim yang membawa pulang hadiah wang tunai $300 serta sijil dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Ainatul Ruwaidah binti Awang Rosli yang memenangi hadiah wang tunai $200 serta sijil.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Ugama di Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Zharfan bin Haji Awang Ahmad dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Kajicuaca, Dayang Rokiah binti Haji Angas juga selaku pengerusi majlis.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Rokiah menekankan pertandingan fotografi cuaca itu selain daripada mengetengahkan bakat dalam bidang fotografi, ia juga dihasratkan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai pelbagai aspek cuaca dan iklim serta kepentingannya yang sering memberikan impak kepada individu dan masyarakat.

    Pertandingan fotografi cuaca ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 60 orang peserta dengan 234 keping gambar telah diterima mengikut relevansasi dan kesesuaian gambar dan kapsyen dengan tema pertandingan yang menggambarkan pelbagai senario dan kepelbagaian corak cuaca.

    Haji Hairul Mohd Daud bergambar ramai bersama para pemenang dan juri-juri bagi Pertandingan Fotografi Cuaca Sempena Hari Kajicuaca Sedunia di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, kelmarin.- GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Rokiah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.- GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda