Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Minggu Lautan Brunei (OWB) buat julung kalinya menganjurkan pertandingan fotografi darat dan dalam air, Brunei Ocean Shootout (BOSH) 2025, yang merupakan acara yang menggabungkan fotografi, videografi dalam dan atas air serta bengkel seni inspirasi lautan untuk mengetengahkan kekayaan biodiversiti marin negara serta mempromosikan pelancongan mampan.
BOSH 2025 dianjurkan oleh OWB dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta jenama peralatan menyelam antarabangsa, Inon Japan, Adventure X, MiniGear dan WeeFine.
Acara yang julung-julung kalinya diadakan itu, mengalu-alukan semua jurugambar, profesional, amatur atau baharu, penyelam, juruvideo dan penggemar marin bertanding bagi merebut hadiah-hadiah utama sambil menekankan pentingnya pemuliharaan lautan.
OWB pada 2025 membawa tema, Beneath the Waters: Careers and Creativity in the Deep, di mana ia mengetengahkan pelbagai laluan kerjaya dan peluang artistik berkaitan dengan persekitaran marin daripada sains dan fotografi kepada advokasi lautan dan bercerita.
Selaras dengan itu, kehidupan marin yang diketengahkan termasuk penyu, bagi menarik perhatian kepada kepentingannya terhadap ekologi dan pemuliharaannya di Negara Brunei Darussaklam dan serantau.

Hadir bagi BOSH 2025 adalah pakar seni dan fotografi dalam air, Ram Yoro dari Filipina dan Zul Ng serta Pauline Wong dari Singapura. Kehadiran mereka memberikan peluang bagi peserta-peserta tempatan untuk belajar secara langsung daripada ahli kreatif yang dihormati dalam bidang berkenaan di rantau ini.
Program itu akan bermula dengan sebuah bengkel yang dipimpin oleh Ram Yoro yang berjalan dari 3 hingga 12 Mei yang menumpukan kepada fotografi dan videografi sudut lebar dalam air serta juga fotografi darat termasuk penggunaan telefon bimbit dan kamera aksi.
Tempoh pertandingan rasmi BOSH akan berjalan dari 29 Mei hingga 5 Jun menawarkan tempoh bagi peserta-peserta untuk menangkap imej persisiran dan dalam air yang menarik di seluruh persekitaran pelbagai pantai dan marin Brunei.
Dari 30 Mei hingga 5 Jun, para peserta juga boleh menyertai bengkel dengan pakar berpangkalan di Singapura, Zul Ng dan Pauline Wong, meliputi fotografi dalam air lanjutan, teknik berasaskan darat dan sesi seni bertemakan lautan.
Kemuncak bagi acara berkenaan adalah Pameran Lautan Brunei dari 6 hingga 8 Jun di Pusat Membeli-belah OneCity, di mana penyertaan terpilih akan dipamerkan kepada orang ramai bersama-sama demonstrasi seni dan pemenang rasmi akan diumumkan semasa Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun.
BOSH 2025 tidak hanya terhad kepada penyelam tetapi ia juga dibukakan kepada jurugambar dan juruvideo darat menerusi kategori-kategori atas air termasuk fotojurnalisme dan fotografi suasana persisiran.
Para peserta tidak perlu untuk memasuki air untuk menangkap kisah-kisah bertenaga meraikan hubungan Brunei dengan lautan.