Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut muncul Johan Pertandingan Kuiz An-Najah Kawasan Brunei IV, manakala Sekolah Ugama Lumapas pula dinobatkan sebagai Naib Johan dalam pertandingan yang berlangsung di Sekolah Ugama Lumapas, kelmarin.
Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IV, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Mu’izzah binti Kefli hadir selaku tetamu khas majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.



Sebanyak 15 pasukan dari sekolah-sekolah ugama di Kawasan Brunei IV telah menyertai pertandingan anjuran Jawatankuasa Pemimpin-Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV, Jabatan Pengajian Islam, yang disasarkan kepada murid-murid Darjah V dan VI.
Pertandingan tersebut merupakan salah satu inisiatif ke arah meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan pencapaian akademik murid-murid sekolah ugama, di samping memupuk semangat persaingan sihat dalam kalangan pelajar.
Pertandingan seumpama ini diharap dapat melahirkan murid-murid yang cemerlang dalam pelajaran serta memperkukuh penguasaan ilmu pengetahuan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun yang bakal menjelang.









