Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Dayang Nur Ridwana Syazwina binti Sukardi dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan ke-10 tahun 2022 yang berlangsung di Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas, November lalu.
Manakala itu, naib juara disandang oleh Dayang Nur’Aishah Irdhina binti Haji Ahmad Yani Zulkarnain dan Dayang Nursyamimi Syazwana binti Jefferyzin di tempat ketiga, yang mana ketiga-tiga mereka merupakan penuntut Tahun 9 Sekolah Mahad Islam Brunei.
Hadir menyaksikan pertandingan tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Penerangan dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum serta guru-guru pembimbing.
Ketiga-tiga pemenang teratas mewakili Negara Brunei Darussalam bersama kumpulan-kumpulan pemenang dari negara-negara anggota ASEAN dalam Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Serantau ke-10, 2022 yang sedang berlangsung di Republik Kesatuan Myanmar, bermula 11 hingga 16 Disember.
Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa dengan kerjasama Unit Akli, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.
Ia merupakan salah satu program yang dipersetujui melalui mesyuarat Sub-Komiti ASEAN-COCI dalam bidang Penerangan (SCI) ke-22.
Antara tujuannya adalah untuk memupuk semangat persaingan yang sihat dalam kalangan belia-belia ASEAN di peringkat sekolah menengah dalam pertandingan kuiz yang mesra dan mendedahkan mereka kepada pelbagai maklumat mengenai budaya, politik, ekonomi dan sosial ASEAN di samping untuk meningkatkan kesedaran mengenai ASEAN dan negara-negara anggotanya. Kuiz ASEAN yang diadakan dua tahun sekali merupakan salah satu projek ASEAN-COCI SCI yang telah dilancarkan pada 2002, dan negara-negara anggota ASEAN menganjurkan Kuiz ASEAN Peringkat Serantau secara bergilir.




