Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China yang mempunyai hubungan persahabatan yang erat akan meraikan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-30.
Sepanjang penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara, banyak pertukaran budaya telah dilaksanakan di mana ia menyumbang kepada pembangunan hubungan kebudayaan di antara Brunei dan China.
Kerjasama dan pertukaran kebudayaan di antara Brunei dan China telah diperkukuhkan dan telah menyaksikan integrasi budaya kedua-dua buah negara yang dapat disaksikan di peringkat komuniti.
Sehubungan itu, dalam meraikan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik itu, Kedutaan Republik Rakyat China dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan Pertandingan Mereka Logo bertema ‘Memperingati Ulang Tahun ke-30 Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China’ dengan mengetengahkan persahabatan dan kerjasama strategik.
Pengumuman mengenai pertandingan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Pertandingan Mereka Logo Memperingati Ulang Tahun ke-30 Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan untuk melancarkan bersama pertandingan berkenaan ialah Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Norhashimah binti Pengiran Mohd Hassan.
Terdahulu dalam kata alu-aluannya, PYT Yu Hong menyatakan bahawa 2021 menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik antara Brunei dan China di mana kedua-dua buah negara terus bekerjasama dalam menangani pelbagai cabaran, memikul tanggungjawab serta mencapai misi masing-masing.
Mengulas mengenai pertandingan mereka logo itu, beliau menyatakan rekaan terbaik akan dipilih bersama oleh pihak penganjur dan akan digunakan dalam acara sambutan pada 2021.
Beliau menambah bahawa pertandingan itu dibukakan kepada warga Brunei dan China di Negara Brunei Darussalam daripada pelbagai sektor khususnya golongan muda dan pelajar.
PYT Yu Hong turut berkata bahawa 2020 merupakan tahun yang luar biasa di mana kedua-dua buah negara bekerjasama untuk menentang pandemik COVID-19.
Beliau berkata bahawa dalam menangani pandemik berkenaan, penduduk kedua-dua buah negara telah banyak menyokong antara satu sama lain di mana ia telah mengukuhkan lagi kerjasama, kepercayaan bersama dan persahabatan. Majlis kemudian menyaksikan pelancaran pertandingan itu yang disempurnakan bersama oleh PYT Yu Hong, Pengiran Norhashimah dan Dr Siti Norkhalbi.
Borang penyertaan bagi menyertai pertandingan itu boleh dimuat turun daripada laman sesawang www.kkbs.gov.bn dan www.facebook.com/Chinaembbn. Penyertaan bagi pertandingan itu dibukakan sehingga pukul 3 petang pada 19 November.