Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan masakan, gubahan curi tumpuan di Tutong

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 25 OGOS – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78, Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Tutong telah menganjurkan Pameran Urusan Rumah Tangga di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah isteri Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Dayang Rahayu binti Haji Abdul Rahman yang sekali gus menyaksikan pameran di akhir majlis.

    Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Tutong, Hajah Ainah binti Datu Hulubalang Haji Abdul Wahab dalam ucapannya yang antara lain menyebutkan bahawa pada tahun ini lebih 200 penyertaan telah diterima bagi 18 jenis masakan dan gubahan yang dipertandingkan di bawah tiga kategori iaitu Kategori A untuk Jenis Masakan dan Sayuran; Kategori B bagi Jenis Kuih-Muih dan Kategori C merangkumi Gubahan Kraf tangan dan Bunga Hidup.

    Menurut beliau, penyertaan pertandingan berkenaan adalah terbuka kepada semua penduduk yang bermastautin di Daerah Tutong termasuklah kaum lelaki.

    “Dengan adanya acara pertandingan urusan rumah tangga, satu venue bagi orang ramai yang berminat dan mahir dalam bidang kulinari dan seni gubahan dapat diwujudkan di mana kemahiran dan kreativiti mereka dapat diketengahkan. Persaingan yang sihat melalui penglibatan di pertandingan ini setentunya akan dapat menambah pengalaman, kemahiran dan rasa yakin diri para peserta untuk lebih berusaha lagi,” ujarnya.

    Selain itu, Hajah Ainah turut menjelaskan sesi penghakiman telah dibuat oleh hakim-hakim jemputan dari Daerah Tutong iaitu seramai enam orang yang terdiri daripada ibu-ibu rumah tangga yang mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam bidang-bidang yang dipertandingkan, tenaga pengajar dalam bidang gubahan dan masakan, termasuk hakim yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang kulinari dari luar negeri.

    Majlis turut menyaksikan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang setiap kategori yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Dayang Rahayu semasa menyaksikan pameran tersebut di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara seni gubahan dan masakan yang dipamerkan pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda