Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan memasak ketengahkan bakat pelajar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Seramai 54 orang pelajar berkeperluan khas dari 18 buah sekolah menengah di negara ini telah mengetengahkan bakat masing-masing dalam peringkat separuh akhir Pertandingan Memasak bagi Pelajar Program Pra-Vokasional Peringkat Negara 2020 yang diadakan secara berasingan bermula hari ini di Sekolah Menengah Masin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertandingan adalah salah satu inisiatif Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan untuk mengenal pasti pelajar yang mempunyai potensi untuk mengikuti pertandingan memasak di peringkat antarabangsa.

    Pertandingan memasak peringkat negara ini merupakan kali kedua diadakan sejak 2018 dengan tujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas serta dapat membantu pelajar menguasai kemahiran memasak.

    Di samping itu melalui pertandingan ini, ia dapat meningkatkan potensi diri serta tahap keyakinan diri secara tidak langsung. Pertandingan juga salah satu platform bagi mewujudkan kolaborasi bersama sistem sokongan iaitu ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkepentingan terhadap pelajar-pelajar berkeperluan khas dan merupakan latihan awal sebelum mereka mengikuti latihan kerjaya nanti.

    Pertandingan peringkat separuh akhir itu akan diteruskan lagi pada 17 Oktober di Sekolah Menengah Katok serta 21 dan 24 Oktober depan di Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.

    Bagi peringkat ini, peserta dikehendaki untuk menyediakan tiga jenis hidangan bertemakan ‘Selamat Hari Jadi’ dan akan dinilai oleh juri-juri dari Unit Pendidikan Khas, Jabatan Perkembangan Kurikulum dan guru-guru mata pelajaran Makanan dan Nutrisi.

    Dari jumlah pelajar berkenaan, hanya enam kumpulan pelajar (terdiri dari tiga pelajar bagi setiap kumpulan) akan dipilih untuk mengikuti peringkat akhir yang dijadualkan pada 12 November depan di IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.

    Dua orang pelajar berkeperluan khas menyediakan hidangan semasa pertandingan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda