Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan nasyid warnai pentas perayaan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Kementerian Pendidikan telah mengadakan Pertandingan Nasyid Peringkat Akhir Sekolah-sekolah Menengah, Pusat-pusat Tingkatan Enam dan Maktab-maktab Senegara Tahun 2024 yang berlangsung di Pentas Perayaan berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, kelmarin.

    Pertandingan diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 Tahun.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepada para peserta ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad @ Mohamat.

    Pertandingan yang dibahagiakan kepada dua kategori itu dilaksanakan secara hibrid dan mempunyai dua peringkat iaitu peringkat saringan secara rakaman video dan peringkat akhir secara bersemuka di pentas perayaan.

    Kategori Sekolah-sekolah Menengah dan Kategori Pusat-pusat Tingkatan Enam itu telah disertai oleh pelajar-pelajar dari sekolah menengah, pusat tingkatan enam, maktab-maktab kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama, di mana empat kumpulan bagi setiap kategori telah bertanding di peringkat akhir.

    Awang Julaihi bersama tetamu-tetamu lain semasa menyaksikan pertandingan itu. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENDIDIKAN KO-KURIKULUM
    Tetamu kehormat semasa menyampaikan hadiah kepada pasukan yang memenangi pertandingan di Pentas Perayaan berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENDIDIKAN KO-KURIKULUM
    Persembahan daripada salah sebuah pasukan dalam pertandingan nasyid berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENDIDIKAN KO-KURIKULUM
    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENDIDIKAN KO-KURIKULUM

    Johan bagi Kategori Sekolah-sekolah Menengah ialah Pasukan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong diikuti dengan Pasukan Sekolah Menengah Sayyidina Hussain di tempat kedua dan Pasukan Sekolah Menengah Seri Mulia Sarjana di tempat ketiga.

    Manakala johan bagi Kategori Pusat-pusat Tingkatan Enam ialah Pasukan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, diikuti dengan Pasukan Pusat Tingkatan Enam Tutong di tempat kedua dan Pasukan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah di tempat ketiga.

    Antara lain tujuan pertandingan anjuran Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum ini adalah untuk menjadi wadah ilmu bagi mewujudkan interaksi dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta, sekali gus meningkatkan syiar dan dakwah Islamiyah melalui nasyid.

    Di samping itu, ia juga memberikan pendedahan dan mengenalkan para pelajar kepada berbagai seni budaya Islam, penghayatan dan mengamalkan seruan Islam.

    Dengan adanya pertandingan ini, ia diharap dapat mendidik para pelajar untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dalam mempersembahkan kesenian dan hiburan secara Islamik.

    Selain itu, ia juga dapat memupuk dan meningkatkan perasaan muhibah yang tinggi kepada para peserta dalam menghayati seruan Islam sambil memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda