Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan nyanyian burung pukau pengunjung

    KABUL – Sejurus selepas matahari terbit di Afghanistan, dua ekor burung emas mengembangkan dadanya dan bersiul sambil menyanyi, dikelilingi oleh ramai lelaki yang tekun mendengarkan mana satu yang berkicau lebih kuat dalam satu hobi yang telah lama wujud.

    Setiap Jumaat, jika cuaca mengizinkan, ratusan orang berkumpul di gelanggang bola keranjang yang usang di barat Kabul, menyaksikan burung peliharaan mereka bersaing antara satu antara lain dalam pertandingan menciak dan berkicau.

    “Hidup ini singkat, jadi kita perlu menikmatinya,” ujar Jamaludin, 50, yang hanya mahu dikenali dengan satu nama.

    “Inilah yang mengujakan saya dan memberikan ketenangan minda.”

    Di bawah pemerintahan Taliban, pilihan hiburan secara drastik menurun selaras dengan interpretasi ketat mereka terhadap Islam. Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai pertaruhan yang dahulunya menjadi aktiviti besar sehingga menjadi perdagangan yang meriah di luar pertandingan kicauan burung tetapi pertandingan tersebut kekal amat popular.

    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Lelaki Afghanistan mengelilingi burung emas yang bersaing dalam pertandingan burung pada awal pagi di gelanggang bola keranjang. – AFP
    Gambar AFP
    Pemilik burung goldfinch membawa burung mereka dalam sangkar yang ditutup dengan kain. – AFP
    Kanak-kanak Afghanistan menghadiri sekolah di kawasan lapang akibat banjir kilat yang melanda di Firozkoh wilayah Ghor. – AFP

    “Minda manusia dicipta untuk mencari kegembiraan,” ujar penonton Ahmad Wahid Dostyar, 42. “Saya akan datang ke sini untuk meluangkan masa dan menenangkan fikiran.”

    Pemilik-pemilik burung akan membuka penutup sangkar dan menyerahkan burung kepada beberapa orang pengadil yang akan mengangkat burung itu ke atas untuk diperlihatkan kepada penonton.

    Ketika sangkar-sangkar ditempatkan bersebelahan penanda ‘X’, para penonton kemudiannya menjadi senyap. Burung-burung tersebut semuanya jantan, sama seperti para penonton terbang ke tempat bertenggek hanya pada jarak yang dekat di antara satu dengan lain.

    Ia kemudiannya mula berkicau dalam aksi penguasaan. Peraturannya cukup ringkas, yang pertama berhenti berkicau akan kalah. Seorang pengadil akan menghitung burung yang terdiam sehingga 10 saat, sama seperti pengadil tinju selepas petinju jatuh dan pemenangnya akan diumumkan.

    Penduduk Afghanistan amat obses dengan burung, dengan hobi berkaitan burung diminati oleh pelbagai lapisan umur, kumpulan etnik dan di seluruh rantau.

    Burung-burung merak dan itik berbunyi di kafe-kafe Kabul dan para peminat pertandingan mengumpulkan ayam dan burung puyuh untuk dipertandingkan.

    Ibu negara Kabul terkenal dengan kesibukan pasar burung dan apabila dipelawa ke rumah seseorang untuk teh, ia merupakan suatu yang biasa bagi perbualan diselang-seli oleh celoteh burung yang pandai menyanyi. Setiap Jumaat, ratusan penggemar burung emas tidak keberatan untuk bangun awal bagi menyaksikan pertandingan tersebut yang merupakan satu-satunya hari cuti penuh dalam seminggu.

    Nilai seekor burung boleh naik atau jatuh berdasarkan kicauannya. Harga paling rendah boleh dibeli sekitar 500 Afghani (AS$7). Akan tetapi, tahun lepas seekor burung menyanyi di Kabul untuk empat minit dan 44 saat terjual dengan harga sekitar AS$1,000.

    Sebahagiannya menyatakan harga-harga boleh mencecah sehingga AS$3,000 untuk seekor binatang yang tidak besar daripada sekeping kad permainan yang mana ia merupakan jumlah yang besar dalam negara di mana 85 peratus daripada penduduknya hidup kurang daripada AS$1 sehari.

    Saeed Nasim Hashimi membeli burungnya dengan harga kira-kira 20,000 Afghani, yang merupakan pemenang pada hari Jumaat baru-baru ini dan diberi ganjaran dengan empat gelas miniatur makanan dalam sangkar.

    “Burung emas kecil saya menang dan menjadi juara,” katanya.

    “Ia sudah terkenal dalam kalangan penggemar burung emas lain,” tambah Saeed Nasim Hashimi, 30.

    Nilai seekor burung akan melonjak jika ia menang pertandingan, tetapi bagi Saeed Nasim Hashimi ia bukan tentang harga.

    “Jika sesuatu memenuhi minat seseorang, ia mempunyai lebih banyak nilai amat berharga,” ujarnya.

    Penggemar burung emas menggunakan pelbagai kaedah untuk memaksimumkan nyanyian burung mereka.

    Mereka memberi burung biji-bijian khas jenis yang berbeza dalam musim yang berbeza, membawanya ke taman atau kawasan hutan untuk menggalakkan kicauan dan menghalangnya daripada mengawan.

    Di sekeliling gelanggang bola keranjang, puluhan sangkar sebesar peti sejuk mini berderetan dan burung peliharaan mereka menunggu untuk bertanding ditutupi dengan kain yang bercorak tartan, labuci dan paisley untuk mengekalkan ketenangan burung-burung berkenaan.

    Sementara kanak-kanak bermain kriket di sekitar kawasan itu, seorang penggemar burung tua menanggalkan penutup sangkarnya yang ditandakan dengan amaran ‘Jaga jarak awda’. Kemudian, dia dengan lembut bercakap kepada burungnya sebelum membawanya ke gelanggang.

    Sementara itu, Waris Hajizada, yang menjual langsir, bertindak sebagai pengadil. “Awda perlu mengenali burung itu,” katanya, sambil menambah bahawa burung ini mempunyai pembiakan dan keluarga tersendiri.

    “Kerja keras, masalah dan penjagaan terhadap burung ini semuanya adalah kerana kami mahu burung itu menyanyi dengan lebih banyak.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda