Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Majlis Penutupan Rasmi Pertandingan Pencak Silat Remaja Jemputan Sekolah Sukan Kali ke-2, 2023 hari ini telah diadakan di Dewan Sekolah Sukan, Kampung Pulaie.
Majlis anjuran Sekolah Sukan itu telah dihadiri oleh Pemangku Pengetua Sekolah Sukan, Hajah Nor Aisah binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan menyaksikan pertandingan pusingan akhir wanita kelas A dan lelaki kelas C yang diselajurkan dengan penyampaian pingat kepada pemenang bagi acara tersebut yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Dalam pertandingan pusi-ngan akhir wanita kelas A, pingat emas disandang oleh Dayang Fatin Hazirah binti Muhidi dari Sekolah Sukan diikuti dengan peserta dari Pusat Latihan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan (MOE), Dayang Nuramalina binti Abdullah. Manakala, Dayang Nursyaziyah Mawaddah binti Mohammad Fauzi yang mewakili Sekolah Sukan dan Dayang Nurul Adriana Batrisya binti Awang Abu Bakar yang mewakili Skim Pembangunan Brunei Muara masing-masing mendapat pi-ngat gangsa bersama.
Sementara itu, pertandingan pusingan akhir lelaki kelas C pula menyaksikan Awang Muhd Azinuddin bin Muhd Azree dari Sekolah Sukan mendapat pingat emas. Pingat perak pula menjadi milik Awang Rusyaidi Rosmad dari Skim Pembangunan Brunei Muara. Manakala, pingat gangsa bersama diraih oleh Awang Ali Ibrahim bin Haji Nasib dari Pusat Latihan JPKK MOE dan Awang Muhammad Azry Danial bin Mohamad Azmy dari Pertubuhan Gagak Hitam (PERGAH) Belait.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada Sekolah Sukan kepada Presiden Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB), Pengiran Haji Abdul Karim bin Pengiran Haji Metassan. Acara penutup gelanggang pula dijalankan oleh Haji Adanan bin Ahad yang me-rupakan mantan ketua jurulatih pencak silat Sekolah Sukan.
Doa Selamat telah dibacakan oleh pegawai pelajaran Sekolah Sukan, Haji Muhd Azrol Azmin bin Haji Ahmad.