Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Pertandingan Pidato Bahasa Jepun bukan sahaja dihasratkan untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar bahasa Jepun di Negara Brunei Darussalam bagi mengetengahkan kefasihan pertuturan mereka malah sebagai platform untuk mengeratkan hubungan persahabatan dan kefahaman antara Jepun dan Brunei.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dalam ucapan alu-aluannya pada Pertandingan Pidato Bahasa Jepun ke-35 yang berlangsung di Dewan Kuliah, The Core, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan pertandingan berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Bahasa UBD, Dr Hajah Suciyati binti Haji Sulaiman; Penolong Pengarah Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C), Awang Sumardi bin Haji Abdul Hamid; Penolong Ketua Bahagian Kreativiti dan Kesenian Jabatan Pendidikan Kokurikulum (DDCE), Awang Imran bin Tahir; Naib Presiden Pejabat Singapura All Nippon Airways (ANA), Tsubaki Risa; pakar bahasa Jepun dari Japan Foundation, Hirata Yuna; dan Presiden Persatuan Jepun Brunei, Hara Tadashi.
TYT Maeda Toru turut menyatakan bahawa 2024 merupakan tahun yang amat bermakna dalam persahabatan dan kerjasama dua hala antara Brunei dan Jepun di mana ia merupakan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-40.

Pertandingan pidato berkenaan dianjurkan bersama oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, L3C dan Pusat Bahasa, UBD dengan kerjasama DDCE, Kementerian Pendidikan.
Pertandingan berkenaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Pidato Bahasa Jepun yang menyaksikan empat orang peserta bertanding dalam Peringkat Permulaan, lapan orang peserta bertanding dalam Peringkat Lanjutan serta Kategori Persembahan Berkumpulan yang menyaksikan lima buah kumpulan beraksi.
Bagi Peringkat Permulaan, tempat pertama dimenangi oleh Awang Muhammad Is’aad bin Haji Rozaidi, tempat kedua Shandya Lumintasari dan tempat ketiga disandang oleh Awang Mohammad Hafiz Izzuddin bin Haji Tejuddin.
Bagi Peringkat Lanjutan, tempat pertama dimenangi oleh Dayangku Nur Azmina binti Pengiran Haji Ahmad, tempat kedua dimenangi Haji Muhammad Izzuddin bin Haji Zaini dan tempat ketiga disandang oleh Dayang Nahdatullrma Nadirah binti A Hamidun.
Bagi Kategori Persembahan Berkumpulan, tempat pertama dimenangi oleh Mahad Islam Brunei diikuti oleh Sekolah Seri Mulia Sarjana di tempat kedua dan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah di tempat ketiga.
Para pemenang bagi pertandingan berkenaan membawa pulang sijil, piala dan pelbagai hadiah termasuk buku-buku bahasa Jepun, pembesar suara pintar, baucar Restoran Jepun dan alat tulis daripada Japan Foundation.

