Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa akan mengadakan Pertandingan Pidato Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, 2023.
Pertandingan tersebut dibukakan kepada golongan belia berumur antara 15 hingga 35 tahun bagi warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam di mana peringkat saringan pertandingan tersebut akan diadakan pada 30 Mei, manakala peringkat akhir akan berlangsung pada 6 Jun nanti bertempat di Balai Sarmayuda, DBP Berakas.
Di samping itu, pertandingan pidato itu bakal menyaksikan tajuk-tajuk pidato yang berkisar tentang 39 Tahun Merdeka, Di Mana Kita?; Menjana Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan; Bahasa Jiwa Bangsa; Mengarak Wawasan Negara; Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung; Belia Siaga Masa Depan; Belia Berwawasan Memperteguh Jati Diri Bangsa; atau apa sahaja tajuk yang bersesuaian.
Sehubungan itu, johan pertandingan tersebut akan menerima hadiah wang tunai $800; manakala naib johan akan menerima hadiah wang tunai $600; sementara bagi pemenang ketiga akan menerima $400; dan pemenang keempat pula akan menerima $150; beserta sijil penyertaan bagi setiap pemenang.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 2382511, sambungan 159/155/160 atau mengantar e-mel ke adm.istilah@gmail.com atau pidato.kbrunei@dbp.gov.bn