Saturday, September 28, 2024
34.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan pupuk kreativiti, pemikiran inovatif

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kementerian Pendidikan terus berusaha untuk membekalkan golongan pelajar di negara ini dengan kemahiran hidup yang membentuk mereka menjadi lebih mandiri, proaktif, berdaya saing serta berdikari, selaras dengan tuntutan kemahiran abad ke-21 dalam pendidikan yang merangkumi elemen 6C iaitu Collaboration, Critical Thinking, Character, Communication, Creativity, dan Citizenship.

    Sehubungan itu, Pusat Keusahawanan dan Inovasi (EIC), Kementerian Pendidikan hari ini telah mengadakan Majlis Konvensyen Pertandingan Celik-Biz kali ke-6 bagi pelajar-pelajar sekolah rendah seluruh negara dan Pertandingan BigStart kali ke-11 bagi sekolah menengah dan maktab seluruh negara di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis yang berlangsung di Dewan Serba guna, Universiti Teknologi Brunei itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman yang sekali gus menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang-pemenang pertandingan tersebut.

    Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diketuai oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Awang Muhammad Irfan bin Haji Aliakbar, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua EIC, Kementerian Pendidikan, Awang Adna Shatriremie bin Haji A Abdul Rahman.

    Majlis kemudian diteruskan dengan acara kemuncak yang menyaksikan pertandingan pembentangan (pitching) daripada para peserta Pertandingan Celik-Biz dan Pertandingan BigStart.

    Kumpulan BIJAQ bergambar ramai semasa menerima hadiah pada pertandingan berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Bagi Pertandingan Celik-Biz kali ke-6, juara dimenangi oleh Ceradik dari Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara, Bukit Beruang Tutong, dengan nama produk Lakastah Membaca. Tempat kedua diraih oleh Kumpulan Hydro dari Sekolah Rendah Rimba III, dengan nama produk Manual Drip Water Irrigation Systems (DWIS) for Seedlings. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Qahfs dari Sekolah Arab Belait dengan nama produk Kamus Ar-Raqmi.

    Sementara juara bagi Pertandingan BigStart kali ke-11, disandang oleh Kumpulan BIJAQ dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dengan nama produk Techno Bin. Manakala kumpulan The Arabic Wizards dengan nama produk SPUD dari Sekolah Mahad Islam Brunei telah berjaya meraih tempat kedua dan tempat ketiga disandang oleh Kumpulan SwapSmart dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan nama produk mereka SwapSmart.

    Menyentuh mengenai Pertandingan Celik-Biz ia merupakan pertandingan pendidikan keusahawanan dan inovasi bagi pelajar-pelajar sekolah rendah Tahun 4 dan 5, manakala pertandingan BigStart adalah bagi pelajar-pelajar sekolah menengah dan maktab Tahun 9 dan 10 untuk menghasilkan prototaip yang kreatif dan inovatif, portfolio serta video pembentangan mengikut empat sub-tema yang dipilih. Sebagai tambahan, peserta pertandingan BigStart juga dikehendaki untuk menghasilkan Business Model Canvas. Tema pertandingan bagi tahun ini ialah Innovation in Entrepreneurship dengan empat sub-tema iaitu Innovation, Edutainment, Digitalisation dan Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0).

    Antara tujuan pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kreativiti, pemikiran pragmatik dan realistik, serta pendekatan inovatif pelajar dalam merancang projek yang berasaskan elemen keusahawanan, serta menambah baik aspek yang berkaitan dengan persekitaran sekeliling, selaras dengan sub-tema tahun ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda