Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan pupuk minat kaligrafi Cina

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Seramai 1,870 orang yang terdiri daripada pelajar pelbagai bangsa dan kaum baru-baru ini telah mengambil bahagian dalam Peraduan Kaligrafi Cina Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai National on-Site Spring Festival Kuimao Year dengan majlis penyampaian sijil telah berlangsung di Dewan Indah, Perindustrian Ringan Lugu.

    Daripada jumlah tersebut, hanya 137 orang sahaja yang terpilih sebagai pemenang peraduan anjuran bersama Society of Chinese Writers Calligraphers and Artist dan Sekolah Menengah Chung Ching, Seria yang diadakan buat julung kalinya.

    Hadir bagi menyampaikan sijil kepada pemenang ialah Charge d’Affaires dan Pemangku Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Wang Haitao.

    Turut menyampaikan sijil selaku ahli tertinggi persatuan berkenaan ialah Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting, dan Pengarah Urusan Aifa Sdn Bhd, Dr Andy Lau.

    Menurut pengerusi persatuan berkenaan, Sng Teck Ann, pertandingan tersebut antara lain sebagai salah satu usaha bagi mempromosi seni kaligrafi Cina dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

    “Pertandingan juga bertujuan memupuk rasa cinta terhadap seni tulisan kaligrafi Cina serta memperbaiki penguasaan Bahasa Cina dalam kalangan pelajar sekolah.

    “Peraduan juga bertujuan untuk memeriahkan lagi musim bunga yang disambut setiap tahun untuk masyarakat cina di seluruh dunia dan seterusnya memberi galakkan dan pendedahan kepada para pelajar tentang budaya cina dan sikap yang positif menerusi peraduan berkenaan,” ujarnya lagi.

    Pertandingan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu sekolah rendah, menengah atas, menengah bawah dan terbuka.

    Wakil daripada Kedutaan Besar Republik Rakyat China bergambar ramai bersama antara pemenang pertandingan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda