Wednesday, October 2, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan Qiraat Zikir, Selawat asah bakat penggerak Negara Zikir

    Oleh: Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Dengan matlamat murni untuk melahirkan bakal penggerak Negara Zikir, Kementerian Pendidikan di bawah Bahagian Kegiatan kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum telah mengadakan Pertandingan Qiraat Zikir dan Qiraat Selawat bagi Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Senegara Tahun 2024 Peringkat Akhir kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan pertandingan akhir berkenaan berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) ialah Pemangku Pengarah PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman yang sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang di akhir acara.

    Pertandingan berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu Qiraat Zikir yang bagi kategori lelaki yang disertai oleh empat pasukan dari peringkat sekolah rendah dan empat pasukan dari peringkat sekolah menengah; sementara Qiraat Selawat untuk kategori perempuan yang turut disertai oleh empat pasukan dari peringkat sekolah rendah dan empat pasukan dari peringkat sekolah menengah.

    Johan pertandingan Qiraat Zikir peringkat sekolah rendah ialah Pasukan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, diikuti dengan Pasukan Sekolah Al-Falaah Sungai Akar di tempat kedua dan Pasukan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di tempat ketiga.

    Manakala johan pertandingan Qiraat Selawat bagi peringkat sekolah rendah telah dimenangi oleh Pasukan Sekolah Rendah Katok B Kumpulan An Nayla di tempat pertama; diikuti dengan Pasukan Mahad Islam Brunei di tempat kedua dan Pasukan Sekolah Al-Falaah Sungai Akar di tempat ketiga.

    Sementara bagi peringkat sekolah menengah, johan pertandingan Qiraat Zikir ialah Pasukan Sekolah Menengah Sayyidina Hasan; diikuti dengan Pasukan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah di tempat kedua dan Pasukan Mahad Islam Brunei di tempat ketiga.

    Bagi pertandingan Qiraat Selawat peringkat sekolah menengah pula, pemenang di tempat pertama disandang oleh Pasukan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Kumpulan 1 diikuti dengan tempat kedua dimenangi Pasukan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Kumpulan 2 dan Pasukan Sekolah Menengah Sayyidina Husain di tempat ketiga.

    Menerusi pertandingan berkenaan, diharapkan dapat mencungkil dan mengetengahkan bakat pelajar yang sedia ada untuk mempelajari dan menguasai zikir-zikir dan selawat-selawat serta mengaplikasikan irama yang sesuai dengannya.

    Antara persembahan peserta dalam pertandingan berkenaan.
    Atas & Bawah: Haji Ahmad Abdussalam menyampaikan hadiah kepada antara pemenang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda