Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan rangsang penyelesaian inovatif isu kemampanan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Dengan matlamat untuk merangsang penyelesaian inovatif kepada cabaran-cabaran kemampanan yang mendesak, Pertandingan Sustainability Startathon telah diadakan di Dewan Mitsubishi, Teater Kuliah Utama Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.

    Pertandingan yang dianjurkan oleh UBD dengan kerjasama OSG Youth Alliance Brunei Chapter itu telah menyaksikan penyertaan kumpulan pelajar dari institusi pengajian tinggi tempatan untuk memberikan penekanan kepada penyelesaian inovatif kepada isu kemampanan yang mendesak.

    Perkara itu merupakan komponen utama kepada Sidang Kemuncak Kepimpinan Belia ASEAN-China-India (ACI) 2024 dengan pertandingan menumpukan kepada penyelesaian isu-isu global selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terutamanya SDG 7, iaitu Tenaga Bersih dan Mampu Dimiliki serta SDG 11, iaitu Komuniti dan Bandar raya Mampan.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle. Turut hadir pengasas OSG Youth Alliance, Dr Tan Eng Han, pegawai-pegawai utama UBD serta pegawai-pegawai kanan daripada industri tempatan dengan kehadiran mereka menekankan kepentingan inisiatif berkenaan dalam mempromosikan pembangunan mampan dan inovasi dalam kalangan pemimpin generasi akan datang.

    Dalam kata alu-aluannya, Dr Tan Eng Han mengatakan inisiatif perusahaan sosial organisasi berkenaan adalah khusus untuk memperkasa golongan muda dengan memupuk minda yang tertumpu pada penyelesaian cabaran-cabaran kontemporari global.

    Dr Hazri (dua kiri) bersama Dr Tan Eng Han (dua kanan) semasa pertandingan tersebut diadakan. – GAMBAR SERAHAN OSG YOUTH ALLIANCE BRUNEI CHAPTER
    ATAS & BAWAH : Salah satu pasukan yang menyertai pertandingan berkenaan semasa menyampaikan pembentangan mereka. – GAMBAR SERAHAN OSG YOUTH ALLIANCE BRUNEI CHAPTER
    GAMBAR SERAHAN OSG YOUTH ALLIANCE BRUNEI CHAPTER

    Dengan penekanan kepada SDG dan isu-isu berkaitan Negara Brunei Darussalam, tambahnya, acara itu direka secara strategik untuk memupuk kepimpinan, keusahawanan dan inovasi dengan matlamat melengkapkan belia dengan kemahiran penting serta prespektif diperlukan bagi kepimpinan efektif dalam domain kritikal berkenaan.

    Sementara itu, Penolong Naib Canselor bagi Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan, UBD, Dr Haji Masairol bin Haji Masri dalam ucapannya menekankan potensi signifikan pertandingan itu dalam memperkasa pemimpin belia yang baru muncul.

    Dengan membolehkan individu-individu berkenaan menyumbang secara langsung kepada pencapaian matlamat global, pertandingan berkenaan memainkan peranan penting dalam memupuk sebuah dunia yang lebih mampan dan inklusif.

    Pertandingan itu menyaksikan para pelajar universiti menubuhkan kumpulan terdiri daripada lima ahli untuk menangani cabaran-cabaran kemampanan kritikal. Para peserta bekerja secara kolaborasi untuk perbincangan secara berkumpulan, mereka dan menghasilkan prototaip penyelesaian inovatif berdasarkan kepada masalah sasaran yang disediakan oleh pihak penganjur.

    Sepanjang pertandingan, pasukan-pasukan menerima bimbingan daripada fasilitator dan memperoleh manfaat daripada pakar-pakar yang menawarkan pandangan berharga dalam bidang-bidang mustahak seperti SDGs, pemikiran rekaan, penyelidikan sosial serta kemahiran pembentangan.

    Pertandingan pada 2024 menampilkan 50 orang pelajar dari 11 institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa yang mara ke pusingan akhir. Tiga kumpulan teratas dari setiap negara yang mengambil bahagian akan mara ke pertandingan akhir yang akan berlangsung semasa Sidang Kemuncak Kepimpinan Belia ACI di Singapura pada Oktober
    nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda