Pertandingan reka pengutip sisa terapung

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) kini sedang menganjurkan Pertandingan Reka Bentuk Konseptual Pengutip Sisa Terapung dengan penyertaan berakhir pada 15 November 2019.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan, bagi menangani isu sisa sampah di sepanjang Sungai Brunei, pihak JASTRe pada masa ini giat melakukan Projek Pembersihan Sungai Brunei yang terdiri daripada perkhidmatan pengutipan harian sisa rumah-kerumah penduduk Kampong Ayer, pengutipan sisa terapung di sepanjang Sungai Brunei serta pengutipan sisa di bawah rumah-rumah di Kampong Ayer.

Namun begitu, pendekatan seluruh negara dan penglibatan setiap lapisan masyarakat turut diseru bagi membasmi isu sisa sampah di negara ini.

Kenyataan menyatakan, pertandingan berkenaan disasarkan kepada penuntut-penuntut lepasan menengah, teknikal dan pengajian tinggi bagi memanfaatkan potensi kemahiran dan kepakaran mereka bagi mencipta teknologi dan mekanisma yang praktikal dan kos efektif bagi menguruskan sisa sampah di Sungai Brunei secara berkesan dalam jangka masa yang pendek, sederhana dan panjang.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A: Bot Skimmer dan Kategori B: Mekanisma Perangkap Terapung.

Penuntut akan bertanding secara berkumpulan bagi merebut peluang memenangi wang tunai bagi setiap kategori dan peluang bagi reka bentuk konseptual mereka untuk diperkembangkan kepada prototaip dan mekanisme atau teknologi bagi Projek Pembersihan Sungai Brunei.

Borang Penyertaan dan butiran lanjut mengenai pertandingan tersebut boleh dimuat turun menerusi laman sesawang www.env.gov.bn dan bagi sebarang pertanyaan lanjut, hubungi pihak jabatan melalui talian 2241262 sambungan 4408/4404.