Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan ROBIN 29 Jun ini

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Makmal Tenaga Seria (SEL) dengan kerjasama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Kementerian Pendidikan, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Makmal Inovasi Brunei (BIL), Petrosains Malaysia dan Progresif Sdn Bhd akan melancarkan Pertandingan Robotech and Innovation (ROBIN) 2024 di Pusat Membeli-belah One City, Salambigar pada 29 Jun.

    Pertandingan itu adalah kesinambungan daripada program Nxplorer Young Innovators (NXYI) yang dikendalikan dari April hingga Jun yang mana para peserta yang berjaya menamatkan siri bengkel melibatkan sesi pengaturcaraan, pengekodan dan robotik akan bertanding dalam ROBIN 2024.

    Menurut kenyataan SEL, lebih 63 pelajar dari beberapa buah sekolah di seluruh negara akan mengambil bahagian dalam pasukan, di mana setiap satu kumpulan boleh memilih antara tiga kategori mencabar iaitu Cabaran MegaTrex dan Robo Sumo yang melibatkan perlawanan kompetitif menggunakan kit robotik pendidikan serta cabaran Innovation yang memberi peluang mereka membentangkan projek.

    Barisan hakim dari Kementerian Pendidikan, BSP, Petrosains Malaysia, UBD dan BIL akan menilai persembahan pasukan-pasukan yang bertanding.

    Pertandingan ROBIN 2024 bermatlamat untuk memperkenalkan dan melengkapkan peserta-peserta muda dengan kemahiran siaga masa hadapan seperti pengaturcaraan, fabrikasi 3D, pemikiran kritikal, pengekodan dan robotik.

    Dengan memupuk persekitaran pembelajaran yang dinamik, pertandingan itu dihasratkan dapat menghubungkan para peserta dengan pemikir-pemikir inovatif yang serupa. Dalam hubungan itu, Pertandingan ROBIN mengalu-alukan orang ramai untuk menyaksikan pengalaman yang menarik berkenaan.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda