Monday, October 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan sebar kesedaran isu-isu sosial

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SMPAPHM) muncul johan dalam Pertandingan Kumpulan Bertindak ‘A’ Team bagi Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab Senegara Tahun 2024 dengan peringkat akhir pertandingan berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Abdul Rahman.

    Pertandingan itu disertai oleh 28 buah sekolah menengah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama di mana lima buah pasukan dari lima buah sekolah telah berjaya mara ke peringkat akhir.

    Pertandingan Kumpulan Bertindak ‘A’ Team membawa tema, Kami PADULI (Prihatin, empAti, Didik, Ugama, Laporkan, Intervensi), menyaksikan pembentangan daripada lima buah pasukan yang bertanding di peringkat akhir mengenai tajuk-tajuk berkenaan isu-isu sosial seperti buli, ketidakhadiran sekolah dan obesiti.

    Johan pertandingan dan pameran terbaik telah dimenangi oleh SMPAPHM. Manakala tempat kedua disandang oleh Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, diikuti dengan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di tempat ketiga. Tempat keempat pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Masin serta kelima ialah Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Sementara itu, penyampai terbaik dimenangi oleh Awang Aiman Raziq bin Haji Raden dari Sekolah Menengah Masin.

    Pertandingan itu bermatlamat untuk menyebarkan kesedaran dan mendidik mengenai isu-isu sosial terkini dengan menumpukan kepada elemen daya tahan supaya tidak terpengaruh dan tidak akan melakukan perkara-perkara berkenaan.

    Di samping itu, ia juga diharap dapat menimbulkan kesedaran yang berterusan dalam kalangan pelajar dengan menggunakan pengaruh rakan sebaya dalam usaha menyampaikan mesej, membanteras dan menangani isu-isu sosial.

    Awang Aliuddin menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan, SMPAPHM. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda