Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan sempena 10 tahun penubuhan masjid

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Bagi menjadikan masjid bukan sahaja tempat beribadah, malah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan dan berkebajikan, Pertandingan Tilawah Al-Quran bagi Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Kali Pertama bersempena 10 Tahun Masjid Ash-Shaliheen, Jabatan Perdana Menteri telah diadakan hari ini.

    Wakil peserta dari Masjid Kampung Tanah Jambu, Awang Muhammad Rizmee Saufi Shahadat bin Abdul Mu’izz Zul Azmi dan wakil peserta tuan rumah iaitu Masjid Ash-Shaliheen, Dayang Nurul Sakinah binti Siman diumumkan sebagai johan.

    Manakala, naib juara telah dimenangi oleh Awang Mohd Hamiz Mirza bin Haji Sudirman dari Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS), Kampung Rimba dan Dayang Siti Hannani binti Haji Ramli dari Masjid Kampung Sungai Liang.

    Seterusnya, tempat ketiga telah dimenangi oleh Awang Abdurrahman bin Haji Mohd Azmi dari Masjid Ash-Shaliheen dan Dayang Nuralawiahtul Izzati binti Suhhardie dari Masjid Sufri Bolkiah.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Pertandingan yang julung kalinya diadakan itu merupakan anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ash-Shaliheen dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid.

    Tujuan pertandingan tersebut diadakan antara lain untuk meningkatkan kualiti pembacaan belia dan beliawanis ke tahap yang lebih baik khususnya bacaan secara tarannum. Ia juga diadakan bagi menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan seharian khususnya dalam kalangan belia dan beliawanis.

    Selain itu, ia diharap dapat melahirkan qari dan qariah dalam kalangan belia dan beliawanis di negara ini dan seterusnya menjadi pelapis di masa hadapan.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim ketika menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan kategori belia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda