Saturday, October 19, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan Suara Takbir, anyam ketupat isikan acara sambutan Aidilfitri

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 28 APRIL – Sambutan Hari Raya Aidilfitri diraikan dengan penuh meriah merupakan tanda kemenangan dan kesyukuran setelah mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

    Bagi meraikan kemeriahan Syawal bersama penduduk setempat, ahli jawatankuasa takmir masjid dan Majlis Perundingan Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait serta para penduduk telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Kampung Sungai Teraban.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penghulu Mukim Kuala Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin.

    Majlis itu diadakan bertujuan bagi memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk bukan sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi juga mengisi kelapangan hujung minggu mereka dengan berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan.

    Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pertandingan Suara Takbir di mana peserta menghantar penyertaan melalui video sebelum acara yang kemudiannya dipaparkan sepanjang majlis tersebut.

    Selain itu, terdapat juga pertandingan membuat ketupat yang menguji ketangkasan peserta dalam membuat ketupat hiasan yang dinilai berdasarkan rupa dan jumlah yang dihasilkan.

    Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian tazkirah oleh imam masjid berkenaan, Awang Mohd Nur Islam bin Suria yang dalam ucapannya berharap acara itu akan menjadi acara tahunan, terutama bagi golongan muda masjid, yang akan mendapat manfaat dari sambutan dalam berkongsi kegembiraan dan keseronokan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama rakan dan keluarga.

    Seterusnya, majlis dilanjutkan dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap pertandingan yang disampaikan oleh tetamu kehormat dan kemudian diselajurkan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh belia masjid.

    Majlis tersebut turut menghidangkan pelbagai jenis kuih tradisional, makanan, dan minuman kepada para tetamu.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut bergambar ramai. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda