Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 22 JUN – Dengan hasrat untuk mewujudkan kesedaran dan peluang kepada golongan generasi muda di negara ini untuk sentiasa bergiat aktif dalam mempertahankan budaya kampung sekali gus menyemarakkan lagi kehidupan bermasyarakat, sehubungan itu Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang dan Pad Nunok Daerah Tutong telah mengungkayahkan Pertandingan Tarik Kalat Bersempena Sambutan Adau Gayoh 2025, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyaksikan pertandingan yang diadakan di padang Sekolah Chung Hwa Kiudang itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri yang dialu-alukan oleh Ketua Kampung Kiudang dan Pad Nunok, Awang Muhammad Rifaie bin Haji Abdul Rahim.
Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, Kategori A iaitu lightweight terdiri daripada sepasukan lapan orang peserta yang mempunyai berat terkumpul tidak melebihi 560 kilogram (kg); dan Kategori B iaitu heavyweight terdiri daripada sepasukan lapan orang dengan mempunyai berat terkumpul tidak melebihi 680kg.
Pemenang-pemenang bagi Kategori A dirangkul oleh Pasukan MS ABDB di tempat pertama, Pasukan Bros Extreme di tempat kedua, Pasukan MS Bukit Panggal di tempat ketiga dan Pasukan Bukit Beruang Puller di tempat keempat.
Manakala bagi Kategori B, juara disandang oleh Pasukan MS ABDB, diikuti dengan Pasukan Mg5 Max di tempat kedua, Pasukan Bear Hill Tuggers di tempat ketiga dan Pasukan Tebuan Tugger di tempat keempat.




Pada tahun ini, seramai 21 pasukan telah menyertai pertandingan secara keseluruhannya bermula daripada peringkat saringan sehingga ke peringkat akhir yang mana penyertaan dibukakan kepada masyarakat dari keempat-empat buah daerah di negara ini yang memegang kad pengenalan warna kuning, merah dan hijau sahaja.
Penyertaan juga dibukakan kepada pasukan-pasukan tarik kalat di bawah kementerian-kementerian, jabatan-jabatan, persatuan-persatuan sukan, institusi-institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah menengah, mukim-mukim dan kampung-kampung di Negara Brunei Darussalam.
Berkesempatan ditemui Media Permata, Awang Muhammad Rifaie menjelaskan bahawa acara pertandingan tarik kalat itu merupakan penganjuran kali kedua selepas acara yang pertama yang pernah diadakan di Taman Rekreasi Wasai Bedanu Kampung Kiudang Mungkom pada tahun lepas.
“Acara pertandingan tarik kalat ini merupakan kesinambungan terhadap antara usaha MPK untuk memperkenalkan Kampung Kiudang dan Pad Nunok kepada masyarakat umum.
Dengan melibatkan penduduk kampung yang sentiasa menyokong dalam acara-acara yang diungkayahkan dapat mengekalkan budaya hidup masyarakat kampung ini dan sekitarnya.”
“Dengan adanya acara sebegini, pastinya harapan kami agar ia mampu mewujudkan semangat gaya amalan hidup yang berkonsepkan ‘kekitaan’, saling membantu dan tidak camah mata. Tambahan lagi, yang kita ketahui masyarakat di sini terdiri daripada gabungan penduduk kampung yang mempunyai kaitan kekeluargaan, berbeza budaya dan ugama namun amalan mengekalkan silaturahim yang sejahtera adalah amalan yang sentiasa dipraktikkan seharian,” ujarnya.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Kiudang dan Mukim Lamunin; Ketua Kampung Lamunin; Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar; Ketua Kampung Bukit Panggal dan Luagan Duduk dan Pemangku Ketua Kampung Batang Mitus, Pengkalan Mau dan Bakiau serta masyarakat setempat dan juga luar daerah.

