Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum malam kelmarin telah mengadakan Pertandingan Tausyeh Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara ke-15 yang berlangsung di pentas perayaan berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja.
Johan kategori lelaki disandang oleh pasukan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), Rimba dikuti dengan pasukan dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan Mahad Islam Brunei yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, bagi kategori perempuan, johan disandang oleh Sekolah Menengah Sufri Bolkiah diikuti oleh pasukan dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di tempat kedua dan ITQSHHB di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad @Mohamat.