Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Kementerian Pendidikan menerusi Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Peringkat Akhir Pertandingan Bicara Berirama Keselamatan Jalan Raya Bagi Peringkat Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Senegara Tahun 2025, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) itu ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad yang sekali gus menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sagu hati.
Lima buah sekolah rendah dan lima lagi sekolah menengah kerajaan dan swasta senegara berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan yang bermatlamat untuk menerapkan pengetahuan serta menanam kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
Secara keseluruhan bagi Kategori Sekolah Rendah (SR) dimenangi oleh Sekolah Freda Radin dengan markah 83 peratus diikuti dengan SR Sultan Hashim Batu Apoi di tempat kedua (82.33%) dan tempat ketiga, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SARIPAD) dengan markah 82 peratus.
Manakala johan bagi Kategori Sekolah Menengah (SM) pula dirangkul oleh Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) dengan markah 89.33 peratus diikuti SM Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) di tempat kedua (87.67%) dan tempat ketiga, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) dengan 86.67 peratus.
Pertandingan akhir tersebut turut menyaksikan pemenang bagi skrip terbaik telah diberikan kepada SARIPAD dan SUAMPRIPAHS. Sementara itu, Dayang Siti Amal Auni Syuhada binti Bahrin dari SARIPAD dan Dayang Nur Rabiatul Adawiyah binti Kamarulriffin dari SUAMPRIPAHS masing-masing menerima hadiah sebagai konduktor terbaik.
Melalui pertandingan sedemikian, ia juga diharap dapat menggalakkan dan meningkatkan penguasaan serta penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar serta dapat membina keyakinan pelajar untuk berucap dan mengekspresikan pemikiran di khalayak orang ramai.